Tangisan ‘raikan’ penyatuan UMNO-Pas

A
A
A

KUALA LUMPUR - Tangisan ahli dan pemimpin tertinggi UMNO-Pas menerbitkan suasana terharu tatkala kedua-dua parti menandatangani Piagam Muafakat Nasional tengahari tadi.

Tangisan itu membawa beribu erti berjuta makna tersirat yang pastinya berlandaskan kesyukuran apabila akhirnya dua parti Melayu terbesar di Malaysia memeterai kerjasama sekali lagi.

Berlatar belakangkan lagu Teman Sejati dari kumpulan Brothers, suasana dalam Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini sangat istimewa tatkala piagam ditandatangani.

Kelihatan ahli-ahli dan pemimpin menitiskan air mata apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggenggam pen sebelum menurunkan tandatangan pada piagam berkenaan.

Emosi terus melanda keseluruhan dewan dan di luarnya apabila Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan membacakan kandungan Piagam Muafakat Nasional.

Annuar yang dikenali kerana kelantangannya dilihat tidak mampu membendung rasa, beberapa kali bacaannya tersekat dek kerana sebak.

ARTIKEL BERKAITAN: Piagam Muafakat Nasional garis enam hasrat utama

Bahkan Ahli Parlimen Ketereh itu turut dilihat mengesat air matanya berulang kali dan situasi itu turut menghadirkan rasa terharu kepada ahli-ahli yang lain.

Artikel Berkaitan:

“Dengan izin ALLAH, sesungguhnya UMNO dan Pas dengan setulus hati mengisytiharkan pembentukan suatu Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk,” katanya yang beberapa kali terhenti kerana sebak.

HPU2019 mencatat sejarah baru arena politik negara apabila dua parti Melayu terbesar di Malaysia, UMNO dan Pas sekali lagi menjalinkan kerjasama selepas ‘berpisah’ selama puluhan tahun.

Penyatuan itu dikuatkan lagi dengan pemasyhuran Piagam Muafakat Nasional yang dipersetujui pemimpin tertinggi kedua-dua parti sekaligus bakal mencorak hala tuju baru UMNO-Pas selepas ini.

Tangisan oleh ahli-ahli UMNO dan Pas yang melihat majlis bersejarah penyatuan rasmi UMNO dan PAS pada Himpunan Penyatuan Ummah di Dewan Merdeka hari ini. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Tangisan oleh ahli-ahli UMNO dan Pas yang melihat majlis bersejarah penyatuan rasmi UMNO dan PAS pada Himpunan Penyatuan Ummah di Dewan Merdeka hari ini. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI