Dua warga Thailand dicekup ceroboh Taman Negeri Royal Belum

Dr Xavier
Dr Xavier
A
A
A

SHAH ALAM - Dua warga Thailand yang dipercayai menceroboh dan melakukan jenayah melibatkan hidupan liar di Hulu Sungai Tiang, Taman Negeri Royal Belum Perak dicekup pihak berkuasa dalam operasi Selasa lalu.

Kedua-dua suspek ditangkap hasil serbuan menerusi Ops Bersepadu Khazanah (OBK) Siri 1/ 2019 yang dilancarkan 3 September lalu.

Operasi melibatkan kerjasama Jabatan Pelindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia serta Perbadanan Taman Negeri Perak.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar menerusi satu kenyataan hari ini berkata, ops secara bersepadu itu bagi memerangi dan membanteras penjenayah hidupan liar di negara ini.

"Hasil tangkapan kedua-dua suspek, pihak berkuasa menemui 15 duri landak, dua taring hidupan liar, dua ekor kura-kura dan satu bahagian hidupan liar dipercayai musang.

"Selain itu, empat unit jerat kabel, 13 unit racik dan tiga jerat nylon dipercayai digunakan untuk lakukan kegiatan berkenan turut ditemui.

"Turut dirampas beberapa peralatan mengambil gaharu iaitu masing-masing dua unit kapak, parang, penggali dan pukat ikan. Selain itu, 11 unit pencuci gaharu, seunit alat penimbang dan 6.1 kilogram kayu gaharu juga dirampas," katanya.

Dr Xavier berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 29, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), Seksyen 60 Akta 716 dan Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan1993).

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tangkapan itu kejayaan pertama OBK bagi tujuan membanteras segala bentuk aktiviti pemburuan haram, penyeludupan hidupan liar dan lain-lain pelanggaran di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan lain-lain akta yang berkaitan.

Katanya, pihaknya turut memberi amaran keras kepada mana-mana individu yang menjalankan kegiatan pemburuan haram hidupan liar dan pencerobohan supaya menghentikan segera aktiviti itu atau bakal berdepan tindakan tegas undang-undang.

"Orang ramai diharapkan terus memberikan kerjasama dengan menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa bagi membantu OBK ini melalui penyaluran maklumat dalam usaha melindungi khazanah negara supaya tidak diancam kepupusan," katanya.

Semua maklumat boleh disalurkan melalui Perhilitan Hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan melalui laman web www.wildlife.gov.my.