Kebakaran rumah Tingang Ajang angkara khianat: Polis

No Image Caption
A
A
A

MUKAH - Kebakaran yang menyebabkan lima keluarga dari Rumah Tingang Anjang, Sungai Sebakong, kira-kira 27 kilometer dari sini hilang tempat tinggal pada lewat malam tadi adalah perbuatan khianat.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Jimmy Panyau berkata, kebakaran itu dimulakan oleh seorang penganggur lelaki berusia 31 tahun dengan minyak petrol di bilik keluarganya tanpa sebarang sebab.

Menurutnya, kejadian tersebut disaksikan oleh isteri suspek.

Katanya, suspek juga mengelar lehernya sendiri dengan pisau sebelum melarikan diri ke kawasan semak berdekatan rumah panjang lima pintu itu yang didiami 36 penghuni.

"Saksi memberitahu suspek kemudian terus keluar melarikan diri menuju ke kawasan semak berhampiran Rumah Panjang Tingang. Isteri suspek memberitahu dia dan suaminya tiada masalah sebelum ini.

"Suspek dibawa ke Hospital Mukah sebelum dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut," katanya.

Jimmy berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat api dan Seksyen 309 kanun sama kerana cubaan bunuh diri.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran melibatkan rumah panjang itu pada jam 11.56 malam.

Artikel Berkaitan:

"Pihak bomba menggunakan sumber air terbuka untuk memadamkan kebakaran tersebut dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.30 pagi.

"Kesemua penghuni berjaya menyelamatkan diri masing-masing dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan," katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: https://www.sinarharian.com.my/article/47791/EDISI/Sabah-Sarawak/Lima-keluarga-hilang-tempat-tinggal-kebakaran-rumah-panjang