Jerebu: JKNS tangguh aktiviti gotong-royong mega

Khalid
Khalid
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengambil keputusan untuk menangguhkan aktiviti Gotong-Royong Mega 2.0 Perangi Aedes Peringkat Negeri Tahun 2019 yang dijadualkan berlangsung esok di Kampung Paya Jaras, Sungai Buloh.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, aktiviti ini yang turut dijadualkan berlangsung selaras di semua daerah-daerah lain akan ditangguhkan ke satu tarikh baharu yang akan ditetapkan kemudian.

Beliau berkata, langkah penangguhan itu diambil berdasarkan bacaan terkini Indeks Pencemaran Udara (IPU) di lima stesen pencerapan iaitu Petaling Jaya, Shah Alam, Pelabuhan Klang, Banting dan Kuala Selangor yang menunjukkan bacaan melebihi 100 unit.

"Apabila bacaan IPU mencecah 100, sebarang aktiviti fizikal seperti gotong-royong adalah tidak digalakkan dan pengumuman tarikh baharu bagi program ini akan dimaklumkan kemudian selepas kualiti udara kembali pulih," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehingga jam 12 tengahari tadi, kawasan Banting mencatatkan bacaan IPU tertinggi di Selangor iaitu melebihi 160.

Manakala empat stesen pencerapan lain turut mencatatkan kualiti udara pada tahap tidak sihat melibatkan Petaling Jaya (152), Shah Alam (147), Klang (143) dan Kuala Selangor (126).

Mengulas lanjut, Khalid berkata, pihaknya turut mengingatkan masyarakat agar dapat meneruskan aktiviti memerangi aedes seperti membersihkan persekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk tersebut di premis masing-masing.

"Selain itu orang ramai turut disaran menggunakan semburan aerosol bagi membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah dan ubat pembunuh jentik-jentik di dalam bekas takungan air kekal atau sukar dibersihkan.

Artikel Berkaitan:

"Malah elakkan juga gigitan nyamuk dengan menggunakan repelan dan memakai pakaian berlengan panjang terutama apabila di luar rumah," katanya.