Bayi cedera disyaki didera pengasuh taska

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bayi lelaki berumur setahun cedera disyaki didera pengasuh di sebuah taska di Semenyih dekat sini Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 34 tahun selepas mendapati luka di leher dan lebam di belakang badan serta kaki bayi berkenaan.

"Ibu mangsa mendakwa terdapat kesan lebam seperti dicubit di belakang badan serta kedua-dua kaki anaknya yang berusia setahun lapan bulan selepas mengambilnya dari taska terbabit pada kira-kira jam 4.30 petang," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, wanita berkenaan mendapatkan penjelasan daripada pihak taska berhubung kesan luka di bahagian leher anaknya, namun mereka menafikan sebarang perbuatan dera.

Difahamkan, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan seramai lima penjaga taska berkenaan dipanggil untuk membantu siasatan.

Polis juga akan menghantar rakaman kamera litar tertutup ke bahagian forensik untuk siasatan lanjut.

Ahmad Dzaffir berkata, bayi tersebut mendapat rawatan di Hospital Kajang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurulhuda Baharuddin daripada Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) di talian 011 26177140.

Artikel Berkaitan:

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. - Bernama