TFC masih berpeluang ke suku akhir Piala Malaysia

Pemain Terengganu FC (TFC) Tchetche Hermann Kipre (dua, kiri) dan pemain pasukan Kedah David William Rowley (kiri) menanduk bola pada saingan kumpulan A, Piala Malaysia 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi. -Foto Bernama
Pemain Terengganu FC (TFC) Tchetche Hermann Kipre (dua, kiri) dan pemain pasukan Kedah David William Rowley (kiri) menanduk bola pada saingan kumpulan A, Piala Malaysia 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jurulatih sementara Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain yakin pasukannya masih memiliki peluang cerah untuk mara ke peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia musim ini.

Beliau berkata, walaupun agak kecewa atas kekalahan tipis 2-3 kepada Kedah pada aksi pusingan kedua di laman sendiri malam tadi, ia tidak akan menjejaskan semangat pasukan untuk mencatat kemenangan pada perlawanan terakhir kumpulan menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam yang dijadual Selasa depan.

"Seperti TFC, Negeri Sembilan (turut berada dalam Kumpulan A) juga masih berpeluang untuk mara ke suku akhir, tetapi saya rasa mereka kena menang tujuh gol ke atas Kedah dan itu akan memberi sedikit kelebihan kepada kita.

"Bagaimanapun, saya tidak mahu bergantung nasib kepada pasukan lain dan akan pastikan pemain memberi persembahan terbaik untuk menang ke atas PKNS FC," katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini malam tadi.

Kedah menjadi pasukan pertama daripada Kumpulan A yang mara ke suku akhir Piala Malaysia 2019 selepas menewaskan TFC 3-2.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, kemenangan ke atas TFC itu hasil semangat juang tinggi pemain yang tidak berputus asa untuk mengutip tiga mata berharga sekali gus layak ke suku akhir.

Beliau mengakui beraksi di tempat lawan bukan satu tugas mudah, lebih-lebih lagi selepas mereka tumpas 0-2 kepada skuad Penyu itu pada pusingan pertama aksi Kumpulan A di gelanggang sendiri di Stadium Darul Aman, Alor Setar awal bulan lalu.

"Pujian harus diberikan kepada semua pemain yang berjuang bermati-matian sehingga memperoleh gol ketiga dan kemenangan pada minit ke-86,” katanya yang bertekad untuk memenangi perlawanan akhir kumpulan bertemu Negeri Sembilan, Selasa depan. - Bernama

Artikel Berkaitan: