Pemimpin Afrika beri penghormatan terakhir

Seorang penyokong bebas Mugabe mengibarkan kain yang memaparkan wajah pemimpin itu ketika berarak di stadium Harare semalam. - Foto AFP
Seorang penyokong bebas Mugabe mengibarkan kain yang memaparkan wajah pemimpin itu ketika berarak di stadium Harare semalam. - Foto AFP
A
A
A

HARARE - Bekas Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe akan diberikan pengebumian negara hari ini dengan lebih 10 pemimpin Afrika dijangka memberikan penghormatan terakhir kepada individu yang dianggap sebagai ikon pembebasan zaman kolonial itu.

Kesemua pemimpin itu akan menghadiri pengebumian rasmi di stadium Harare, bagaimanapun pengebumian terakhirnya di monumen kebangsaan hanya akan diadakan sejurus makam baharu dibina.

Semalam, keluarga Mugabe memutuskan untuk mengebumikan mayatnya di Heroes Acre dalam masa kira-kira 30 hari lagi.

Mugabe, 95, meninggal dunia di Singapura 6 September lalu, sekali gus meninggalkan legasi kekuasaannya selama 37 tahun yang menyaksikan pemerintahan dengan penindasan dan krisis ekonomi.

Pemimpin itu menghembuskan nafas terakhir hampir dua tahun selepas digulingkan dalam rampasan kuasa oleh tentera pada November 2017.

Mayat Mugabe dibawa pulang dari Singapura Rabu lalu ke negara yang sehingga ke hari ini masih bergelut dengan inflasi dan kekurangan makanan serta bahan bakar yang disebabkan krisis ekonomi selama puluhan tahun.

Anak lelaki Mugabe, Chatunga Mugabe (kiri) menyambut sorakan orang ramai yang berkumpul untuk melihat mayat bekas Presiden Zimbabwe di Stadium Rufaro. - Foto AFP
Anak lelaki Mugabe, Chatunga Mugabe (kiri) menyambut sorakan orang ramai yang berkumpul untuk melihat mayat bekas Presiden Zimbabwe di Stadium Rufaro. - Foto AFP

Artikel Berkaitan:

"Meskipun terdapat rasa tidak puas hati, kedudukan kerajaan adalah jelas. Presiden Mugabe adalah ikon," kata Menteri Luar Sibusiso Moyo.

Ketika Mugabe memerintah, beliau berjaya menamatkan pemerintahan minoriti kulit putih dan memberi lebih banyak akses kepada pendidikan serta kesihatan awam kepada penduduk kulit hitam yang miskin.

Bagaimanapun, ramai rakyat lebih mengingati Mugabe kerana salah urus ekonomi dan peraturan kejam.

Jutaan orang melarikan diri dari Zimbabwe susulan krisis yang berlangsung selama beberapa dekad, hiperinflasi serta tindakan keras terhadap mereka yang menentangnya.

Sehingga hari ini, ramai rakyat Zimbabwe masih berjuang untuk bertahan meskipun Presiden Emmerson Mnangagwa berikrar akan menyediakan lebih banyak pelaburan dan pekerjaan selepas era Mugabe. - AFP

ARTIKEL BERKAITAN: