Suami isteri maut konvoi motosikal berkuasa tinggi

Keadaan di lokasi kemalangan di Jalan Kota Tinggi-Mersing, Mersing malam tadi. - Foto Facebook
Keadaan di lokasi kemalangan di Jalan Kota Tinggi-Mersing, Mersing malam tadi. - Foto Facebook
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suami isteri maut manakala seorang lagi parah apabila konvoi motosikal berkuasa tinggi terbabit kemalangan di Jalan Kota Tinggi - Mersing, Mersing malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa Mohd Hanafi Ismail, 37, dan Salimah Mohd Shafie, 40, yang menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Z800 meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah.

Difahamkan ketika kejadian kedua-dua mangsa berkenaan turut berada dalam kelompok 20 motosikal berkuasa tinggi dari Terengganu menuju ke Desaru bagi menyertai acara Minggu Permotoran Antarabangsa Desaru 2019.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki pasangan itu telah berlanggar dengan sebuah kereta yang memasuki laluan bertentangan ketika menyusuri satu selekoh di laluan terbabit.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Alza dalam perjalanan menuju Endau, Mersing telah hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan ketika sedang menyusuri selekoh.

“Ketika itu mangsa bersama 20 kelompok motosikal lain berada di laluan berkenaan yang mengakibatkan berlakunya perlanggaran,” katanya dalam satu kejadian di sini hari ini.

Cyril berkata, selain mangsa kemalangan itu turut membabitkan tiga lagi motosikal lain yang mana salah seorang penunggangnya turut mengalami kecederaan parah.

“Mangsa yang cedera kemudiannya dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Mersing untuk mendapatkan rawatan.

Artikel Berkaitan:

“Siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.