X

Kindly register in order to view this article
!

Saya sedih, marah: Tunku Azizah

Ciapan Twitter nukilan Tunku Azizah yang menyatakan rasa sedih dan marah setelah beberapa individu ditangkap susulan tindakan baginda menyahaktifkan akaun Twitter rasminya pada Rabu lalu.
A
A

SHAH ALAM - Kurang 48 jam selepas menyahaktifkan akaun Twitter rasminya, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kembali menciap pada 7.55 pagi hari ini.

Bagaimanapun, menerusi ciapan terbaharu, baginda mengungkapkan rasa kecewa apabila terdapat beberapa individu ditangkap polis susulan keputusan menyahaktif akaun Twitter bukan disebabkan sedih dengan komen dibuat warganet.

Titah baginda, keputusan dibuat sebaliknya atas sebab-sebab peribadi.

"Selama bertahun, Tuanku dan saya tidak membuat laporan polis kerana kata-kata tidak baik mengenai kami. Ini negara bebas.

"Namun hari ini, Afzan (anakanda Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah) mengejutkan saya dan memaklumkan 'Mama, polis tangkap 2 orang!.

"Saya sedih dan marah dan terus aktifkan semula Twitter. Tidak ada niat saya supaya mereka ditangkap polis," nukil baginda.

Titah baginda melalui ciapan Twitter, baginda sendiri memberitahu pihak istana untuk beritahu pihak polis jangan ambil tindakan.

"Saya ulangi sekali lagi, saya nyahaktif (Twitter) bukan sebab mereka,” titahnya lagi.

Tuanku Azizah sempat berseloroh dalam ciapan seterusnya mengenai Tengku Afzan yang akan menenangkannya setiap kali sedih.

"Walaupun selama ini saya dan Tuanku dikeji, dituduh, dihentam, dimaki hamun dalam CARI.com, kami berdua tidak pernah buat laporan polis dan saya tidak pernah sedih malah ketawa apabila baca kerana ALLAH tahu saya siapa!” tulis Tuanku lagi.

Keputusan Tunku Azizah menyahaktifkan akaun Twitter sejak Rabu lalu mengejutkan warganet dan mengundang rasa sedih dalam kalangan mereka.

Kebanyakan warganet beranggapan tindakan baginda berpunca ciapan beberapa pengguna Twitter yang menurunkan komen negatif termasuk menghina institusi diraja.

Beberapa individu difahamkan membuat laporan polis sejak semalam, selain seorang pengguna dilaporkan sudah pun memuat naik permohonan maaf di laman sosial sama.

Majoriti pengguna Twitter lain merayu akaun Twitter Raja Permaisuri Agong diaktifkan semula kerana kecewa tidak dapat mengikuti semula perkembangan baginda.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus