PATI punca penyakit tibi menular: Boon Chye

Boon Chye (tengah) ketika ditemui media pada selepas Majlis Dialog Bersama Kakitangan Klinik Kesihatan Sungai Lembing di sini semalam.
Boon Chye (tengah) ketika ditemui media pada selepas Majlis Dialog Bersama Kakitangan Klinik Kesihatan Sungai Lembing di sini semalam.
A
A
A

KUANTAN - Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang memasuki negara secara haram menjadi salah satu punca penularan penyakit tuberkulosis (tibi) atau batuk kering.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, ini kerana mereka tidak menjalani saringan kesihatan sepertimana yang memasuki negara dengan cara sah.

"PATI yang datang secara sah telah melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum mereka dibenarkan bekerja.

"Mereka (pekerja asing) yang sah seperti yang bekerja di mamak atau sebagai orang gaji terhindar daripada penyakit tibi kerana mereka tidak akan dapat permit kerja jika menghidap penyakit itu.

"Kita tidak nafikan memang ada berlaku kes tibi di mana setiap tahun kira-kira 25,000 kes dan jumlah itu masih tinggi disebabkan pekerja asing masuk ke negara tanpa menjalani saringan kesihatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Dialog Bersama Kakitangan Klinik Kesihatan Sungai Lembing di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Shaari Ngadiman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Shohaimi Mohammed Shah.

Dalam pada itu, Boon Chye menggesa supaya masyarakat memberi penekanan kepada aspek penjagaan kebersihan setempat dengan sentiasa meneruskan amalan gotong-royong bagi mencegah penularan penyakit seperti denggi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tindakan yang dilakukan oleh agensi kerajaan tidak mencukupi jika masyarakat tidak menjaga kebersihan kawasan rumah mereka yang boleh menyebabkan nyamuk aedes membiak.

"Jangan tunggu sehingga sesuatu musibah menimpa pada ahli keluarga kita untuk mengambil tindakan. Ini adalah kediaman anda, maka jagalah kebersihan dan keselamatannya.

"Jika ada di kalangan masyarakat yang tidak faham bagaimana nak menjaga kebersihan rumah daripada nyamuk aedes itu yang menjadi masalah.

"Saya menyeru pantaulah kawasan sekeliling rumah anda semak di kawasan yang mengalami air bertakung, harus dibersihkan supaya nyamuk aedes tidak dapat membiak," katanya.

Tambahnya, kes demam denggi di Pahang meningkat sebanyak 196 peratus menjadi 1,639 kes dalam tempoh 1 Januari sehingga 7 September lalu berbanding tempoh sama pada tahun lalu.