Pusat Penjaja Mantin beroperasi semula

Anthony Loke merasmikan penyerahan Pusat Penjaja Mantin kepada peniaga semalam.
Anthony Loke merasmikan penyerahan Pusat Penjaja Mantin kepada peniaga semalam.
A
A
A

NILAI - Seramai 16 peniaga di Pusat Penjaja Mantin menarik nafas lega apabila memulakan perniagaan semula selepas empat bulan tidak berniaga.

Kerja naik taraf pusat penjaja yang berusia lebih 20 tahun itu dilakukan kerana kemudahan di tempat berkenaan mengalami kerosakan.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook berkata, Majlis Perbandaran Nilai (MPN) memperuntukkan sebanyak RM412,000 bagi menaik taraf pusat penjaja tersebut.

"Kerja naik taraf bermula pertengahan Apil lalu siap awal Ogos lalu itu dilakukan bagi memberi lebih keselesaan kepada peniaga dan penduduk yang menjadikan lokasi tersebut sebagai tempat menjamu selera lebih 20 tahun lalu," katanya pada sidang media pada majlis penyerahan Pusat Penjaja Mantin hari ini.

Hadir sama, Adun Nilai, J Arul Kumar dan Yang Dipetua MPN, Datuk Zazali Salehudin.

Anthony Loke meninjau sekitar Pusat Penjaja Mantin di sini semalam.
Anthony Loke meninjau sekitar Pusat Penjaja Mantin di sini semalam.

Anthony Loke berkata, kadar sewa gerai tidak akan dinaikkan, sebaliknya kekal dengan bayaran sebelum ini iaitu RM104 sebulan termasuk RM4 sebagai kos penyelenggaraan.

Artikel Berkaitan:

"Projek melibatkan kerja penukaran bumbung, longkang, tandas yang turut dilengkapi dengan kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU) dan keadaan persekitaran lebih selesa untuk menjalankan perniagaan.

"Dalam masa sama, peniaga diingatkan agar terus mematuhi syarat perniagaan ditetapkan terutamanya tidak menyewakan gerai mereka kepada peniaga bukan tempatan.

"Setakat ini 16 peniaga sedia ada patuh akan syarat ditetapkan dan manfaatkannya sebaiknya susulan mereka mencari rezeki melalui perniagaan makanan dan minuman ini sejak lebih 20 tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Anthony Loke juga menekankan soal kebersihan tandas selain gerai berikutan negara yang maju tandas awamnya bersih kerana keadaan itu antara diambil kira oleh pelanggan samada luar mahupun tempatan.

Peniaga, Wong Ah Meng, 72, berkata, dia tidak sabar memulakan perniagaan yang merupakan pendapatan utamanya sejak lebih 20 tahun lalu.

"Saya gembira keadaan gerai lebih selesa, longkang besar, tandas lebih baik daripada sebelumnya. Kalau boleh esok juga mahu mula berniaga," katanya.

Terdahulu, pada Mei lalu, seramai 16 penjaja di Pusat Penjaja Mantin dekat sini menerima bantuan RM2,000 setiap seorang daripada Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook.

Sumbangan itu bagi meringankan beban para penjaja itu sementara menunggu pusat penjaja itu dinaik taraf oleh Majlis Perbandaran Seremban.

Pusat penjaja itu sudah berusia lebih 20 tahun dan terdapat banyak kemudahan di situ telah mengalami kerosakan yang memerlukan pembaikan dan naik taraf.