Pencen untuk pasukan beruniform

Gambar hiasan. - Foto PDRM
Gambar hiasan. - Foto PDRM
A
A
A

BERCAKAP tentang skim pencen hendak dihapuskan, elok juga kita menelusuri dengan teliti apa yang hendak dihapuskan.

Semua tahu dan sudah diuar-uarkan kerajaan menanggung bebanan pencen mencecah RM28 bilion ini.

Oleh itu, ada cadangan untuk menghapuskan skim pencen ini khas untuk pengambilan jawatan baharu sahaja.

Ini bermakna, mereka yang ditawarkan bekerja dengan sektor perkhidmatan awam selepas ini tidak lagi akan ditawarkan skim pencen.

Mereka akan diberi taraf kontrak sahaja. Mungkin dengan gaji mengikut gred sedia ada tetapi elaun-elaun yang lebih tinggi pula. Maka kata kerajaan perbelanjaan dapat dijimatkan juga.

Saya sebenarnya bersetuju dengan cadangan Tan Sri Noh Omar bahawa skim pencen ini janganlah dihapuskan semua tetapi ada sektor-sektor yang perlu dikekalkan juga.

Cadangan saya, untuk sektor perkhidmatan melibatkan keselamatan negara dan rakyat jelata hendaklah dikekalkan seperti askar, polis, bomba dan kastam perlulah tidak ada kompromi dan perlu diteruskan skim ini.

Mereka ini tidak perlu dipersoalkan lagi, ini kerana kerja mereka melibatkan nyawa demi negara dan rakyat jelata. Selain itu, untuk menarik minat supaya orang muda lebih ramai menyertai badan-badan berpakaian seragam itu juga.

Artikel Berkaitan:

Bagi sektor lain, yang sedia ada bolehlah dibuat kajian sama ada perlu diteruskan atau tidak skim pencen ini. Yang ditawarkan jawatan baharu pula, elok diberi taraf kontrak dan caruman KWSP pula. Sama seperti pekerja swasta juga.

Lagipun pekerja swasta juga rakyat Malaysia yang menyumbang kepada pembangunan negara tetapi yang lebih afdal jika ingin meneruskan skim pencen ini, elok diberi kepada semua rakyat juga tanpa mengira taraf dan pekerjaan.

Seperti dicadangkan Parti Sosialis Malaysia, elok diperluaskan kepada semua rakyat Malaysia termasuk rakyat jelata yang tidak ada pendapatan tetap ini bukan hanya penjawat awam.

Atau mungkin juga boleh mengikut sistem pencen negara Jepun.

Para bijak pandai profesor dan ahli akademik, tok guru-tok guru boleh sahaja membuat kajian bagaimana negara Jepun menyediakan skim pencen kepada rakyatnya memandangkan kita sekarang ke arah dasar pandang ke Timur semula.

Mengikut kajian ringkas saya berkenaan sistem pencen negara Jepun, ia terbahagi kepada dua kategori. Pertama, dipanggil National Pension Plan iaitu Rancangan Pelan Kebangsaan.

Kategori ini semua rakyat diwajibkan mencarum sendiri seperti mereka yang bekerja sendiri, yang tidak ada gaji dan juga yang tidak mampu bekerja.

Yang kedua ialah sistem simpanan pekerja yang lebih kurang sama dengan KWSP iaitu mereka ini mempunyai pendapatan tetap dan mendapat sumbangan daripada majikan juga dan sumbangan daripada gaji pekerja ialah sebanyak 9.15 peratus daripada pendapatan bulanannya.

Kerajaan Jepun juga memberi jaminan yang selagi ada sumbangan kepada sistem pencen ini, maka rakyat jelata Jepun akan menikmati pencen sepanjang hayatnya.

Kata kerajaan Jepun lagi, faedah pencen ini tidak akan jatuh di bawah 50 peratus daripada gaji bulanan yang dinikmati sebelum ini.

Walaupun begitu, bila bercakap tentang masa hadapan tiada siapa yang tahu apa yang akan terjadi melainkan hanya kerajaan. Masih ada kelemahan juga dalam sistem ini, namun elok dibuat kajian terperinci lagi.

Berbalik kepada negara kita pula, eloklah dibuat kajian terperinci juga, untuk menambah baik sistem saraan sedia ada kepada rakyat jelata ini.

Seperti yang disebutkan tadi, kalau hendak hapuskan skim pencen, mekanisme yang baharu perlu dicari tetapi hendaklah melibatkan rakyat jelata secara menyeluruh. Bukan hanya penjawat awam.

Tidak ada perbezaan antara penjawat awam dan swasta. Masing-masing menyumbang kepada pembangunan negara juga. Eloklah segala nikmat dikongsi bersama.

Cuma pekerja swasta ini kebanyakannya sekarang bekerja secara kontrak. Jarang majikan swasta mengambil pekerja bertaraf tetap, maka risiko akan lebih tinggi daripada penjawat awam pula.

Bagi penjawat awam yang baharu, elok diberi taraf kontrak juga. Pada masa yang sama boleh menyumbang kepada KWSP. Dan kerajaan masih perlu mengeluarkan duit menyumbang kepada KWSP untuk setiap pekerja di sektor awam.

Sama sahaja seperti skim pencen, agensi kerajaan menyumbang secara menyeluruh kepada KWAP. Perbezaannya adalah apabila semua menyumbang kepada KWSP, kerajaan tidak perlu lagi membayar pencen berterusan pula.

Justeru, pesan saya kepada kerajaan, bak kata peribahasa Melayu lama, jangan lalu hangus, surut layu pula.