PRU15 milik UMNO-Pas kalau betul gaul resepinya: Tok Mat

Mohamad (tiga dari kiri) bersama Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man (dua dari kiri), Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua dari kanan), Naib Presiden Pas, Idris Ahmad (kiri) dan Datuk Seri Ahmad Maslan (kanan) mengangkat tangan bersama-sama ketika Ceramah Perdana UMNO dan Pas pada Himpunan Penyatuan Ummah di PWTC malam tadi.
Mohamad (tiga dari kiri) bersama Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man (dua dari kiri), Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua dari kanan), Naib Presiden Pas, Idris Ahmad (kiri) dan Datuk Seri Ahmad Maslan (kanan) mengangkat tangan bersama-sama ketika Ceramah Perdana UMNO dan Pas pada Himpunan Penyatuan Ummah di PWTC malam tadi.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Seandainya UMNO dan Pas berpakat sebaiknya, tidak mustahil gabungan itu mampu menang lapan negeri dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bahkan mampu menawan Putrajaya.

Keyakinan itu disuarakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut yakin seandainya kedua-dua parti ‘menggaul resepi sebetulnya’, Johor juga mampu ditawan semula.

“Kalau pakat elok-elok, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah kita boleh tawan, kita kekalkan pula Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang. Maka, lapan negeri kita boleh menang.

“Kalau betul kita gaul resepinya, Johor pun kita boleh ambil. Selangor, kita kena baca betul-betul. Itu yang buatkan mereka (Pakatan Harapan) rasa resah gelisah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berceramah pada program Ceramah Perdana Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam tadi.

Tambah Mohamad, beliau cakna dengan kebimbangan akar umbi terutamanya pembahagian kerusi melibatkan kedua-dua parti.

Begitupun, beliau menasihatkan semua ahli agar bertenang dan biarkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membincangkan isu berkenaan.

“Ramai tanya macam mana pembahagian kerusi, nak bahagi macam mana. Jangan cepat sangat cerita pasal kerusi, matlamat kita sekarang nak menang (pilihan raya).

“Kena pakat elok-elok. Jangan siang-siang dah tamak haloba, kalah kita nanti,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menggunakan analogi semut dan anai-anai, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu melabelkan UMNO sebagai semut manakala Pakatan Harapan (PH) sebagai anai-anai.

“Dalam rumah bila ada semut, orang sembur semut bagi mati. Bila tiada semut, anai-anai pun bermaharaja lela. Datuk Tuan Ibrahim Tuan Mat (Timbalan Presiden Pas) sembur saya, mati UMNO.

“Kan dah naik anai-anai ke Putrajaya. Mereka tak tahu tadbir negara. Selepas ini, kita belilah ‘spray’ yang lebih baik dan kita ‘spray’ anai-anai PH, kita bagi dia mati,” katanya disambut sorakan penyokong kedua-dua parti.

Tegas Mohamad lagi, penyatuan UMNO-Pas meresahkan kepimpinan PH sehinggakan mereka mengeluarkan pelbagai kenyataan.

“Itu sebab PH takut, mereka mimpi nampak muka Ahmad Zahid. Biar dia mimpi, kita buat kerja kita elok-elok.

“Jangan cerita pasal hal kecil-kecil, kita cerita hal Malaysia. Cerita bagaimana PH harus kita tewaskan dalam PRU15, itu tujuan kita,” katanya.