Empat ditahan, dadah bernilai RM575,892 dirampas

Noor Azam Jamaludin (dua dari kanan) menunjukkan dadah disyaki pil ecstasy yang dirampas dalam dua operasi di Gombak dan Klang Selatan pada sidang media di IPK Selangor, hari ini.
Noor Azam Jamaludin (dua dari kanan) menunjukkan dadah disyaki pil ecstasy yang dirampas dalam dua operasi di Gombak dan Klang Selatan pada sidang media di IPK Selangor, hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menahan empat individu termasuk sepasang kekasih dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM575,892 dalam dua serbuan berasingan di Batu Caves dan Klang Selatan pada Rabu lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, kedua-dua serbuan itu dilakukan hasil maklumat awam dan risikan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Menurutnya, dalam serbuan pertama kira-kira jam 8.30 malam di sebuah pangsapuri di Klang Selatan, dua lelaki warga tempatan berumur 28 dan 21 tahun ditahan di kaki lima bangunan itu dan polis merampas 9,900 biji pil disyaki erimin 5 yang dibawa oleh suspek.

“Hasil soal siasat, suspek membawa polis ke satu unit rumah di pangsapuri itu. Hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis menahan seorang wanita warga Thailand berumur 36 tahun dipercayai mempunyai hubungan dengan salah seorang suspek.

“Pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai lagi jenis dadah disimpan di situ termasuk di dalam peti sejuk. Kesemua dadah yang dirampas adalah 2.3kg serbuk ecstasy, 366 biji pil ecstasy, 113 biji pil WY dan 37 gram (g) ketamin bernilai keseluruhan RM450,335,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak tiga bulan lepas dan semakan menemui mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau malah wanita tersebut juga masuk ke negara ini secara sah.

Katanya, polis turut menyita wang tunai sebanyak RM80,800 dipercayai hasil penjualan dadah tersebut selain dua kenderaan jenis Toyota Vios, lima telefon bimbit, serta 10 barangan kemas dengan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM163,200.

Noor Azam berkata, dalam serbuan kedua kira-kira jam 10.30 malam di sebuah unit rumah pangsa di Batu Caves pula, seorang lelaki tempatan berumur 23 tahun ditahan dan polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM125,557 yang ada bersamanya.

Artikel Berkaitan:

“Lelaki yang bekerja sebagai kelindan lori itu ditahan hasil risikan IPD Gombak. Pemeriksaan ke atas rumah berkenaan menemui 46.5g heroin, 14 peket plastik berisi bahan kristal disyaki syabu seberat kira-kira 187.3g dan satu ketulan mampat tumbuhan kering dipercayai ganja anggaran berat 972.1g.

“Hasil soal siasat awal, suspek kemudian membawa polis ke sebuah kereta di kawasan rumah pangsa itu. Pemeriksaan menemui 36.2kg lagi ganja disimpan di dalam bonet kenderaan tersebut,” katanya sambil menambah lelaki itu dipercayai mengedar dadah secara bersendirian sejak awal tahun ini.

Menurutnya, dadah itu dipercayai untuk pasaran tempatan dan boleh dibekalkan kepada 20,135 penagih dadah di sekitar Lembah Klang.

"Kesemua suspek direman untuk siasatan lanjut sehingga Rabu ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Noor Azam berkata, siasatan gangguan rangkaian operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ogos lalu kini dalam peringkat akhir.

“Polis sedang menunggu laporan teknikal daripada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity) dan forensik polis. Kita akan lihat sama ada betul-betul wujud sabotaj atau sebaliknya.

“Setakat ini, kita sudah mengambil keterangan daripada lebih 70 individu dan berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Pada 21 Ogos lalu, kegagalan sistem Sistem Pengurusan Keseluruhan Lapangan Terbang (TAMS) di KLIA telah menjejaskan fungsi utama seperti sambungan WiFi, sistem paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi. - Bernama