Aksi Piala Malaysia ditangguh jika IPU cecah 150

No Image Caption
A
A
A

SAINGAN Piala Malaysia 2019 akan diteruskan seperti biasa meskipun beberapa negeri di Semenanjung dan Sarawak merekodkan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) daripada sederhana kepada tahap tidak sihat sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun Ketua Pegawai Operasi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, mengikut garis panduan MFL, jika venue aksi sesuatu perlawanan mencatatkan bacaan IPU melebihi 150, maka perlawanan tersebut layak ditangguhkan.

Menurutnya, keputusan penangguhan perlawanan itu turut akan mengambil kira laporan pegawai perlawanan yang ditugaskan khas di setiap venue dan sekiranya terdapat permohonan rasmi daripada pasukan bertanding.

"Kita mempunyai garis panduan yang jika IPU melebihi 150, perlawanan itu boleh ditangguhkan tetapi ia juga tertakluk pada venue perlawanan.

"Jerebu ini sukar untuk diramal kerana ia bergantung kepada cuaca juga...kalau angin kuat dan hujan sebelum perlawanan, mungkin keadaan di venue sesuai untuk bermain tetapi kita tetap memantau rapi keadaan jerebu ini.

"Kita telah ingatkan semua pegawai perlawanan di venue untuk sentiasa memeriksa keadaan IPU. Perlawanan boleh ditangguhkan bila-bila masa bergantung keadaan di venue dan dengan persetujuan bersama pasukan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sebanyak lapan perlawanan Piala Malaysia membabitkan 16 pasukan akan berlangsung pada hari ini dan esok dengan tujuh daripadanya di Semenanjung sementara satu di Sabah.

Setakat 10 pagi tadi, berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) sebanyak 24 stesen merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, manakala Johan Setia, Klang, Selangor, kekal sebagai satu-satunya kawasan yang merekodkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat dengan bacaan 209. - Bernama

Artikel Berkaitan: