Ketua kampung tak boleh jadi pengerusi masjid, surau

Tosrin ketika mengadakan sidang media di pejabatnya hari ini.
Tosrin ketika mengadakan sidang media di pejabatnya hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Mana-mana ketua kampung di Johor tidak lagi dibenarkan memegang jawatan sebagai pengerusi surau dan masjid bermula tahun depan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, ketetapan itu diputuskan meskipun ada pihak yang meminta perkara itu dibenarkan.

"Saya nak tekankan bahawa ketua kampung tidak dibenarkan untuk memegang jawatan pengerusi masjid sebab ada komen-komen yang minta pandangan saya agar ketua kampung dibolehkan memegang jawatan pengerusi masjid.

"Kesemua jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini akan melalui pelantikan baharu Januari tahun depan," katanya pada sidang media di Pusat Islam Iskandar hari ini.

Menurutnya, rombakan dibuat secara menyeluruh namun jawatankuasa sekarang kekal sehingga Disember 2019 sahaja.

"Sebelum ini, apabila kita buat pemilihan kariah masjid, ia hanya dibuat melalui satu panggilan mesyuarat di masjid yang tertumpu kepada satu golongan tertentu sahaja.

"Maka kita nak buat pembaikan dan menjadikan masjid ini benar-benar berfungsi maka kita buka peluang kepada yang lain supaya mereka dapat tawarkan diri bagi sebarang jawatan," katanya.

Katanya, mana-mana pihak yang memenuhi syarat termasuk jawatankuasa masjid atau surau sekarang boleh mengisi borang di daerah masing-masing sehingga 25 September ini.

Artikel Berkaitan:

"Dalam prosedur baharu yang kita kemukakan ini, jawatan bagi pengurusan masjid sekarang ini boleh dimohon oleh semua pihak. Kami telah menyediakan satu borang khas yang boleh didapati di pejabat kadi daerah, penghulu dan ketua kampung.

"Mereka perlu menawarkan diri dalam jawatan-jawatan pengerusi, timbalan, setiausaha, bendahari, ketua penerangan dan ahli jawatankuasa. Dalam borang itu ada syarat-syaratnya.

Tosrin berkata, pemilihan peringkat mukim akan dijalankan termasuk semua calon akan dipanggil untuk sesi temuduga.