Wanita UMNO bidas Kit Siang tanya siapa PM UMNO-Pas

Noraini ketika bergambar bersama selepas sesi Tadabbur Surah As-Saff pada Himpunan Penyatuan Ummah UMNO Pas di PWTC hari ini. –Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Noraini ketika bergambar bersama selepas sesi Tadabbur Surah As-Saff pada Himpunan Penyatuan Ummah UMNO Pas di PWTC hari ini. –Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - [VIDEO] Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad membidas tindakan Lim Kit Siang dengan menyifatkannya sebagai penyibuk.

Ia berikutan kenyataan Penasihat DAP itu mempersoalkan siapa Perdana Menteri yang bakal diangkat jika penyatuan UMNO-Pas menghasilkan kemenangan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Adakah mereka tahu mereka akan hanya menjadi kerajaan sepenggal? Sebab itu mereka mula hendak memikirkan siapa perdana menteri.

“Dia (Kit Siang) pula nak fikirkan PM yang akan kita bawa nanti dalam PRU..mereka mengakuilah (jadi kerajaan sepenggal),” katanya pada sidang media sempena Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Kit Siang sebelum ini menyifatkan penyatuan ummah UMNO-Pas sebagai pakatan kleptokrasi dan menimbulkan persoalan siapa antara pemimpin yang akan diangkat sebagai perdana menteri.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menyebut tiga calon berpotensi iaitu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam pada itu, ditanya mengenai persepsi bahawa penyatuan UMNO-Pas adalah semata-mata demi kelangsungan parti, Noraini bagaimanapun menganggap kenyataan tersebut sebagai satu bentuk provokasi.

Beliau berkata, segala kritikan tidak akan menghentikan gerakan matlamat penyatuan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Mereka bimbang dengan penyatuan ini, jadi mereka membuat tuduhan dan andaian. Penyatuan ini menyeru kepada perpaduan. Fokus utama penyatuan UMNO-Pas adalah memastikan kemenangan pada PRU akan datang,” katanya.

Sementara itu, lebih 5,000 penyokong terdiri daripada Wanita, Puteri UMNO, Muslimat dan Ameerah Pas menghadiri HPU914.