Jual MyKad: Pengkhianat buka pintu negara untuk musuh

Jamil Khir
Jamil Khir
A
A
A

ALOR SETAR - Tindakan sindiket menjual dokumen pengenalan diri dan sijil kelahiran palsu kepada warga asing dan diubah suai disifatkan pengkhianatan terkeji kepada negara selain membuka pintu untuk dibolosi musuh.

Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, di saat negara masih lagi dalam suasana sambutan kemerdekaan dan bakal menyambut Hari Malaysia pada 16 septembar nanti, negara dikejutkan tangkapan pegawai Jabatan Pendaftaran Negeri yang menjual kewarganegaraan Malaysia di Pulau Pinang.

"Apa yang berlaku ini adalah mengkhianati negara bangsa di samping boleh dianggap sebagai pengkhianat yang membuka pintu negara untuk dibolosi musuh.

"Negara mampu ditawan secara terancang melalui dalaman (hasil kemasukan musuh yang berjaya menjadi warganegara melalui sindiket ini)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jamil Khir berkata, penjualan kewarganegaraan juga pengkhianatan terhadap pihak keselamatan yang bertungkus-lumus di sempadan perbatasan negara agar tidak dibolosi pendatang asing tanpa izin (PATI).

Menurutnya, usaha itu menjadi sia-sia selepas menelan keringat, belanja wang negara dan pengorbanan pihak keselamatan yang menjaga sempadan negara agar PATI tidak terlepas membolosi negara.

"Amat malang di saat kita berbicara soal keselamatan sempadan dan tiba-tiba negara dikejutkan dengan berita penjualan kewarganegaraan Malaysia kepada rakyat asing dari China.

"Kejadian ini adalah sesuatu amat serius dan dahsyat yang tidak boleh diterima oleh mana-mana rakyat Malaysia tanpa mengira apa bangsa sekalipun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kemasukan ke mana-mana negara sekalipun dengan dokumen atau pasport yang palsu pun sudah dikira kesalahan besar dan ditangkap serta dihalau keluar daripada negara berkenaan.

"Demi kedaulatan Malaysia di samping mengembalikan semula keyakinan rakyat di negara ini, kita mendesak dengan tegas agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat perkara ini.

"Kes ini serius dan keji kerana secara langsung telah menjual negara. Semoga disegerakan RCI kerana kebimbangan rakyat sudah tinggi sekarang," katanya.