Ditumbuk selepas tegur bapa saudara maki nenek

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pekerja swasta cedera di kepala akibat ditumbuk selepas menegur sikap biadab bapa saudara di Kampung Tukang, Gelugor Kedai di sini Isnin lalu.

Bukan itu sahaja, teguran lelaki berusia 21 tahun turut mengundang rasa tidak puas hati suspek, 37, sehingga sanggup mengugut akan mencederakan semua ahli keluarga lain pada masa akan datang.

Menurut sumber, kejadian kira-kira jam 8 malam itu berlaku selepas mangsa menegur sikap biadab suspek yang memarahi dan memaki neneknya (ibu suspek).

"Bagaimanapun, teguran secara baik itu mengundang kemarahan suspek sebelum bertindak menumbuk kepala mangsa sehingga bengkak.

"Masih tidak berpuas hati, suspek mengugut akan mencederakan semua ahli keluarga sebelum meninggalkan rumah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sumber berkata, semasa berada di tempat kerja pada keesokan harinya pula, mangsa dikejutkan dengan panggilan telefon daripada kakaknya memaklumkan sebahagian rumah mereka sudah terbakar.

"Mangsa bergegas balik dan setibanya di rumah, mangsa dapati satu longgokan tayar kereta dan cebisan kain sedang terbakar di atas lantai di hadapan rumah.

"Yakin kebakaran itu adalah berpunca perbuatan khianat yang disengajakan, mangsa terus membuat laporan polis untuk tindakan susulan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian di Balai Polis Chabang Tiga di sini.

Katanya, susulan laporan diterima, pihaknya menahan suspekdi sebuah rumah di Kampung Tukang kira-kira jam 6.40 petang kelmarin.

"Suspek ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya.