Ayuh sertai Projek Infaq Komuniti Ahad ini

BERILAH sumbangan kepada mereka yang memerlukan. -Gambar hiasan
BERILAH sumbangan kepada mereka yang memerlukan. -Gambar hiasan
A
A
A

ORANG ramai dipelawa untuk menyertai Projek Infaq Komuniti (Mangkuk Tingkat) yang membuka tirai bagi Resolusi Keluarga 1441H sempena kempen My Family #QuranHour dan #savingfamilies yang akan diadakan di myCafe Armanee Club House, Kondominium Armanee, Damansara Damai, Petaling Jaya Selangor pada hari Ahad ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, aktiviti amal komuniti itu dianjurkan oleh Rumah Ngaji @ Damansara Damai, myCafe Armanee Club House dengan kerjasama WUIF, Rumah Ngaji dan Sahabah al-Quran.

MARHAINI
MARHAINI

Katanya, projek perintis itu diadakan bagi menggerakkan aktiviti infak daripada komuniti kepada komuniti memandangkan terdapat ramai masyarakat yang kurang berkemampuan di sekitar kondominium berkenaan.

"Kami mendapat kerjasama daripada pihak sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Damai (1), Sekolah Kebangsaan Damansara Damai (1) dan Sekolah Kebangsaan Damansara Damai (2) untuk mengenal pasti pelajar dan keluarga yang memerlukan sebagai penerima infak.

"Dijangkakan seramai 50 orang daripada 10 keluarga menjadi tetamu khas bagi Projek Infaq Komuniti sempena Food Bazaar dan mereka akan mendapat tajaan sarapan RM10 seorang oleh komuniti dan menerima ‘Food Basket’," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Beliau menambah, Resolusi Keluarga 1441H memfokuskan keluarga dengan al-Quran dan membina budaya infak berdasarkan Surah al-Ma’un dan Surah al-Rahman. Ia diharapkan dapat menjadi formula untuk membina kasih sayang dalam komuniti dan menghidupkan nilai harmoni antara kaum.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap program tersebut dapat melahirkan komuniti berjiwa yang penyayang, ‘I am compassionate Malaysian’ (Saya rakyat Malaysia berbudi dan penyayang) dalam kalangan umat Islam dan mereka yang bukan Islam," katanya.

Silaturahim

Untuk melengkapkan pengisian program tersebut, Sesi Food For Soul akan disampaikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail dengan bertadabbur Surah al-Rahman.

Sementara itu, Fazrul berkata, Surah al-Balad mengajak kita untuk membina negara dan mengelakkan daripada mendustakan dan 'menunggang' agama. Surah al-Ma’un pula mengajak kita untuk memberi makan kepada orang miskin.

Dalam pada itu, pengusaha myCafe, Azran Mohamad berkata, myCafe sebagai penganjur Food Bazaar yang diadakan pada hari Sabtu dan Ahad, minggu kedua dan keempat menjadi platform strategik untuk penduduk Armanee dan orang ramai menjana pendapatan melalui jualan makanan buatan sendiri.

"Aktiviti itu juga bertujuan mewujudkan kemesraan dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti. Dalam persepsi Islam, sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada ramai orang. Dalam perspektif bisnes, ia dipanggil social entrepreneurship. Dalam mencari keuntungan, kita membantu memperbaiki kehidupan orang lain. Inilah objektif Food Bazaar yang kami anjurkan ini," katanya.

No Image Caption

Menurut Azran, pihaknya mengambil inisiatif program Mangkuk Tingkat untuk menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan dalam mangkuk tingkat terus ke rumah.

Jelas beliau, ia membantu golongan ibu berkerjaya dalam komuniti berkenaan untuk menjimatkan masa menyediakan makan malam.

Selain itu, pihaknya juga akan menggerakkan Projek Mangkuk Tingkat Untukmu bagi memberi bantuan kepada asnaf yang memerlukan.

"Inisiatif itu diharapkan dapat memperkenalkan budaya Muslim sebenar yang suka membantu tanpa mengira kaum. Kami ingin menyampaikan bantuan makanan mangkuk tingkat daripada sumbangan orang ramai.

"Kami menyasarkan 10 keluarga setiap hari untuk projek tersebut. Ia diharapkan dapat mendidik hati kami dengan sifat tawaduk dan syukur. Diharapkan sumbangan yang disampaikan itu dapat menyebarkan gelombang kasih sayang dan mendapat rahmat ALLAH," katanya.

Bagi Penggerak Rumah Ngaji @ Damansara Damai, Norzayah Abdullah, sebanyak 10 keluarga yang dijemput pada program infak kali ini bertujuan untuk membina hubungan rapat dengan mereka, sekali gus melihat kemahiran yang boleh diketengahkan untuk menambahkan pendapatan.

"Sebelum ini, Rumah Ngaji @ Damansara Damai menyantuni sekolah dan golongan pelajar yang memerlukan dengan menyampaikan sumbangan orang ramai. Ini termasuk sumbangan al-Quran, rehal, dan buku Iqra’," katanya.

Justeru, sesiapa yang berminat untuk mengadakan Projek Infaq Komuniti di tempat masing-masing boleh menghubungi Rumah Ngaji di talian 019-380 3635.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan Projek Mangkuk Tingkat Untukmu boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 5627 9550 8777 (Ainatasnim).