Polis tahan empat individu kes hina agama, perkauman

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga lelaki dan seorang wanita ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman berhubung siasatan kes penghinaan terhadap agama Islam dan isu perkauman Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Huzir Mohamed berkata, empat individu terbabit disiasat mengikut peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Kanun Keseksaan.

Menurutnya, siasatan pertama dijalankan terhadap pemilik akaun Facebook Zahren Zakariah dan seorang lelaki ditahan pada jam 2.45 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan kesemua peralatan digital yang digunakan untuk memuat naik status berkenaan di laman sosial telah dirampas.

"Pada 16 Ogos, siasatan turut dijalankan ke atas kenyataan menghina kaum Melayu oleh pemilik akaun Facebook Ramar Nara dan lelaki itu ditahan jam 5 petang, Rabu lalu di Pelabuhan Klang.

"Beberapa peralatan digital yang digunakan untuk memuat naik kenyataan itu di laman sosial Facebook juga dirampas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan sama turut dilakukan terhadap pemilik akaun Facebook, Ain Zafirah atau Nia Fira dan seorang wanita ditahan jam 4.30 petang di Seremban 3, Negeri Sembilan.

Katanya, selepas siasatan 9 September lalu, seorang lelaki dikenali sebagai Arunkiri yang memuat naik video mengaibkan dengan niat membangkitkan sentimen perpecahan di YouTube ditahan di Kelana Jaya, Selangor dua hari kemudian.

Huzir berkata, kesemua tangkapan itu dilakukan hasil kerjasama PDRM dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang membantu mengesan pemilik-pemilik akaun laman sosial terbabit.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua individu yang ditahan dibawa ke Mahkamah Majistret semalam untuk permohonan reman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi Kuala Lumpur.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak memuat naik perkara yang menyentuh sensitiviti agama, perkauman dan institusi beraja di laman sosial.

Katanya, tindakan itu boleh membangkitkan perpecahan dan menggugat keharmonian serta perpaduan negara.