Bila tanah dipagar jiran!

Khairy (tengah) semasa berjumpa kedua-dua pihak semalam.
Khairy (tengah) semasa berjumpa kedua-dua pihak semalam.
A
A
A

PORT DICKSON – Gara-gara membina pagar di tanah milikan bersama, seorang pemilik tanah memfailkan kes ke mahkamah terhadap jirannya yang mendirikan pagar tanpa kebenaran.

Pemiliknya, Rosly Nasir, 67, berkata, kejadian berlaku sekitar 2013, apabila jiran yang tinggal di hadapan rumah mereka mendirikan pagar di atas tanah milik bersama sehingga menyebabkan dia sekeluarga tidak dapat menggunakan laluan tersebut.

Menurutnya, apabila penyelesaian cara baik tidak dilayan, Rosly telah meminta anaknya membawa perkara tersebut ke mahkamah dan akhirnya pada 28 Disember 2018, mahkamah telah memutuskan jirannya itu perlu merobohkan pagar tersebut.

"Walaupun sudah ada perintah mahkamah, namun tiada sebarang tindakan sehingga menyebabkan kami meminta campur tangan Pejabat Daerah.

"Hasil perbincangan bersama Pejabat Daerah, akhirnya mereka telah meminta pagar tersebut dirobohkan dalam masa sebulan memandangkan tindakan individu tersebut membina pagar di tanah itu adalah salah di sisi undang-undang," katanya.

Katanya, disebabkan perbuatan tersebut, dia dan keluarga terpaksa menggunakan laluan atas tanah milik orang lain disebabkan tanah sendiri telah dipagar orang.

Rosly ditemui semasa lawatan Pejabat Daerah ke lokasi di Lot 136, Batu 6 3/4, Kampung Teluk Kemang dekat sini semalam.

Rosly diwakili peguamnya, Ahmad Hafizuddin Abu Hassan dari Tetuan Risma&Idriss.

Artikel Berkaitan:

Semasa lawatan tersebut, keadaan menjadi tegang apabila kedua-dua pihak menunjukkan rasa tidak puas hati, sebelum ditenangkan Pegawai Daerah.

Sementara itu, Pegawai Daerah Port Dickson, Khairy Maamor berkata, pihaknya telah dimaklumkan perkara tersebut dan meminta defendan merobohkan pagar berkenaan kerana tindakannya salah di sisi undang-undang.

Katanya, pejabatnya juga telah menerima surat perintah mahkamah pada 8 Ogos lalu dan sebaik sahaja pelan dibuat oleh juruukur plaintif diluluskan, pihaknya akan melakukan kerja-kerja penandaan batu aras sebelum dirobohkan.

"Pihak kami tidak akan melakukan kerja-kerja meroboh tetapi kami akan pastikan pihak defendan mematuhi arahan dikeluarkan mahkamah," katanya.