‘Raja Permaisuri Agong kirim salam pada semua’

Gambar yang dikongsi Teme Abdullah di Twitternya semalam.
A
A

SHAH ALAM - Arkitek yang juga penulis, Teme Abdullah melalui akaun Twitternya, @itsteme menyampaikan ucapan salam Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah buat semua.

Berita itu disampaikan Teme Abdullah sambil memuat naik gambar Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong semalam.

“Akhir sekali...Permaisuri yang kita sayangi, Raja Permaisuri Agong ada kirimkan salam pada semua. Tidak kisah friends or haters (kawan atau pembenci).

“Dan tentang gambar itu, aku dah dapatkan perkenan keizinan tuanku untuk berkongsi di sosial media aku. Jangan risau. Nah...Buat yang rindu pada tuanku,” tulisnya.

Teme Abdullah mengadap Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri bagi mempersembahkan karyanya semalam.

Sebelum ini, Teme Abdullah membuat hantaran sambil menunjukkan video pendek hasil tangannya melakar wajah kedua-dua Seri Paduka Baginda.

Hantaran itu mendapat perhatian Tunku Azizah sambil memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong turut mengagumi karyanya itu.

“Baginda tuanku boleh saja mengupah pelukis ternama bertaraf dunia untuk melakar wajah baginda menghiasi istana tetapi baginda berdua merendah diri, mencemar duli turun ke bawah dan memilih lukisan seorang anak muda macam aku. Begitulah tuanku dengan rakyat,” katanya.

Hantaran Teme Abdullah itu setakat ini mendapat lebih 20 ribu ulang siar dan hampir 30 ribu tanda suka.

Netizen juga berterima kasih kepada Teme Abdullah kerana membuat Raja Permaisuri Agong kembali tersenyum.

Dalam perkembangan sama, Teme Abdullah berkata, rakyat Malaysia beruntung memiliki raja dan permaisuri yang bersungguh-sungguh berdamping dengan rakyatnya.

“Kita beruntung. Tatkala manusia berebut-rebut memperaga kuasa, kita punyai penaung negara yang turun bergaul dengan rakyat jelata, berusaha bersungguh-sungguh untuk berdamping di medan bersama rakyatnya.

“Malangnya, ada segelintir yang tidak tahu berbudi dan tidak mengenal jati diri. Baginda tuanku berdua sudah tidak perlukan publisiti. Wajah Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sudah terpampang merata-rata di seluruh pelosok negeri,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis terima satu laporan hina Raja Permaisuri Agong di Twitter

Awal pagi semalam, netizen menzahirkan rasa terkejut selepas Tunku Azizah menyahaktifkan akaun Twitter baginda.

Tidak dapat dipastikan mengapa baginda bertindak menutup akaun Twitternya, namun beberapa individu dikenal pasti antaranya Firdaus Asraf menjadi penyebab Tuanku berbuat demikian.

Tindakan pengguna Twitter itu turut mendapat respon bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Musa menegaskan, tindakan tegas perlu diambil polis termasuk menahan individu terbabit di bawah Akta Hasutan bagi mengelakkan golongan 'kurang ajar' ini terus 'naik lemak'.

Malah netizen turut menggerakkan kempen #AmpunTuanku sambil mengharapkan baginda mengaktifkan semula akaun Twitternya.

Selepas dikecam, Firdaus Asraf melalui akaun Twitternya, @frdsasrf membuat permohonan maaf sambil menjelaskan dirinya sebagai derhaka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed juga memaklumkan pihaknya menerima satu laporan berhubung penghinaan itu dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

Teme Abdullah berkongsi gambar Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri yang menunjukkan hasil karyanya.
Teme Abdullah berkongsi gambar Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri yang menunjukkan hasil karyanya.