Kenapa masih ada yang ingkar larangan merokok?

A
A

TELAH hampir setahun larangan merokok di tempat makan awam dikuatkuasakan, namun, masih ada segelintir yang ingkar. Mereka ini dilihat selamba menghembus asap rokok di tempat makan awam tanpa mempedulikan keselesaan orang lain yang alergi dengan bau asap rokok.

Lebih menyedihkan, kebanyakan mereka ini adalah golongan bapa yang sepatutnya menjadi contoh kepada anak-anak.

Bimbang juga andai tindakan mereka itu dicontohi oleh orang lain yang sama degilnya sehingga menyebabkan penguatkuasaan dilakukan gagal. Walhal apa yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan itu merupakan tindakan yang baik kepada semua pihak.

Bila melihat golongan yang ingkar ini merokok di tempat makan tanpa rasa bersalah, Merak Jalanan tiba-tiba teringat satu peristiwa ketika melawat Australia beberapa tahun sudah. Pada ketika itu Merak Jalanan mahu melintas jalan di Brisbane namun langkah kaki terhenti kerana lampu isyarat berwarna merah.

Merak Jalanan akur dengan peraturan tersebut walaupun pada ketika itu tiada kenderaan lalu di jalan. Dalam pada itu, muncul seorang lelaki kulit putih dalam usia 40-an berdiri di sebelah Merak Jalanan. Dia juga melakukan perkara yang sama.

Kami berbalas senyuman tetapi tidak berkata apa, sebaliknya hanya berdiri di situ menunggu masa untuk melintas.

Tiba-tiba, muncul seorang lelaki Asia berusia 20-an entah dari mana berlari terus melintas jalan tanpa mempedulikan isyarat lampu merah. Melihatkan tindakan lelaki itu, lelaki kulit putih sebelah Merak Jalanan itu langsung bersuara.

Katanya, dia boleh melakukan perkara sama tapi dia tak mahu lakukannya kerana bimbang perbuatannya itu dicontohi oleh anak muda di negaranya.

Katanya, dia lebih rela menunggu lampu hijau menyala untuk melintas jalan yang kosong daripada merosakkan amalan patuh undang-undang yang telah disemaikan sejak sekian lama kepada rakyat di negara itu.

Merak Jalanan tak berkata apa, hanya tersenyum mendengar penjelasan lelaki itu. Namun, dalam kepala ligat memikirkan betapa hebatnya mentaliti orang putih dalam bab patuh kepada undang-undang. Selain menjaga keselamatan diri, mereka juga ambil berat kesinambungannya terhadap generasi akan datang.