X

Kindly register in order to view this article
!

Serangan jantung punca kematian pemuda dipukul 12 jam di India

Salah satu klip video menunjukkan seorang lelaki memukul Tabrez.
A
A

PATNA - Satu dokumen ditandatangani lima ketua jabatan di sebuah kolej perubatan di Jamshedpur, India mengesahkan serangan jantung sebagai punca kematian seorang pemuda Muslim yang dibelasah teruk dalam kejadian Jun lalu.

Ketua jabatan terbabit dilantik pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca kematian Tabrez Ansari.

Laporan dokumen itu menyebut, kecederaan parah pada badan mangsa berkemungkinan mencetuskan serangan jantung tersebut.

"Keretakan pada tulang mangsa disebabkan oleh objek tumpul. Kesan daripada kecederaan itu ditambah bengkak pada organ dalaman telah mencetuskan serangan jantung," menurut laporan itu.

Sementara itu, polis berkata laporan perubatan tersebut membuktikan mangsa mati bukan akibat dibunuh.

Bagaimanapun laporan itu dan tindakan polis dalam menangani kes berkenaan mencetuskan perbalahan di media sosial.

Kredibiliti siasatan turut dipersoalkan selepas doktor dituduh cuai apabila gagal mengesan keretakan pada tempurung kepala mangsa.

Keluarga mangsa mendakwa, Tabrez mungkin mati akibat pukulan kuat pada kepala.

Tabrez, 24, mati di hospital empat hari selepas diserang, diikat pada tiang dan dibelasah tanpa belas kasihan kerana kononnya mencuri di Jharkhand.

Dia akhirnya diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke hospital.

Selain dibelasah, Tabrez turut dipaksa melaungkan slogan yang lazim digunakan pelampau Hindu.

Kejadian pada 18 Jun lalu mencetuskan kemarahan komuniti Muslim di India selepas rakaman penyeksaan mangsa tersebar di media sosial. - Agensi