Dakwa pegawai menteri perlekeh kempen Buy Muslim First

Mohd Helmy mengalami kesukaran untuk memasarkan cili ketika ini akibat diboikot pemborong.
Mohd Helmy mengalami kesukaran untuk memasarkan cili ketika ini akibat diboikot pemborong.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengusaha cili dari Perak yang mengalami kemerosotan hasil jualan selepas diboikot pemborong Cina kecewa dengan status Facebook dimuat naik seorang pegawai menteri yang dilihat seolah-olah tidak bersimpati dengan nasib menimpa pengusaha Islam yang diboikot.

Mohd Helmy Md Mazli, 35, berkata, lebih dikesalkan apabila pegawai menteri itu lebih 'condong' memperlekehkan kempen Buy Muslim First (BMF) serta tidak memberi sokongan terhadap pengusaha Melayu dan Muslim.

Menurutnya, dalam situasi sekarang sepatutnya pegawai menteri itu memberi sokongan kepada mereka dan bukan turut menghentam.

Katanya, dia menjual cili merah Kulai secara borong dengan pengeluaran sekitar satu hingga 1.5 tan sehari, hasil daripada tapak projek tanaman cili fertigasi di Hulu Perak dan tapak projek fertigasi 20 peserta asnaf serta 17 peserta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dari seluruh Perak.

"Kesemua asnaf dan peserta AIM ini tergolong dalam kalangan orang kampung yang susah dan mereka dibantu untuk tingkatkan hasil pengeluaran sebelum ia dipasarkan.

"Bila tauke atau pemborong Cina tidak beli lagi hasil pengeluaran kami, pendapatan semua peserta sangat terjejas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mohd Helmy (tengah) melihat cili yang sedia untuk dipasarkan.
Mohd Helmy (tengah) melihat cili yang sedia untuk dipasarkan.

Menurutnya yang menceburi bidang pertanian sejak enam tahun lalu, mereka mengalami kerugian kira-kira RM2,000 pada minggu lalu selepas kira-kira 200 kilogram cili rosak kerana gagal dijual.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, ketika ini hanya seorang pemborong Cina masih membeli cili mereka berbanding lebih 10 pemborong sebelum ini yang kebanyakannya datang dari Pasar Selayang di Selangor serta Bukit Mertajam dan Butterworth di Pulau Pinang.

"Walau tinggal seorang sahaja pemborong Cina yang masih beli dengan kami, tetapi dia ambil pada harga paling rendah iaitu RM5 per kilogram sedangkan dijual pada harga RM10 sekilogram di pasar.

"Kasihan kepada peserta asnaf kalau harga terlalu rendah sebab ini sumber pendapatan mereka," katanya.

Sebahagian daripada 20 peserta asnaf yang mengusahakan projek tanaman cili fertigasi di Perak.
Sebahagian daripada 20 peserta asnaf yang mengusahakan projek tanaman cili fertigasi di Perak.

Mohd Helmy berkata, pemborong mula memboikot cili dikeluarkan Mohd Helmy sejak dua minggu lalu susulan pelaksanaan kempen BMF.

Menurutnya, setelah situasi dialaminya dikongsi di Facebook beberapa hari lalu dan tular, ramai pemborong Melayu dari Johor, Terengganu serta Melaka menghubunginya dan berminat untuk memborong cili yang dijual.

"Sekarang saya masih berbincang dengan mereka, tetapi kalau pemborong dari jauh kos pengangkutan agak tinggi.

"Kalau mahu sasarkan pada pemborong sekitar Perak, kebanyakannya pemborong kecil dan mereka tak ambil cili dalam kuantiti yang banyak.

"Saya harap jabatan dan agensi berkaitan dapat membantu dari segi pasaran, selain kami juga perlukan bilik sejuk sebagai tempat simpanan cili ini. Kalau cili tidak habis dijual, ia tidak akan cepat rosak dan merugikan peserta," katanya.

Mohd Helmy menambah, dia juga terharu dan berterima kasih kerana masalah dihadapinya sekarang mendapat perhatian Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Katanya, Mohd Asri menghubunginya pagi tadi dan memberi kata-kata semangat agar tidak berputus asa ketika melalui ujian ini.

Mohd Asri menerusi Facebooknya hari ini memuat naik hantaran mengenai status seorang pegawai menteri agama yang dilihat cuba melecehkan kempen BMF dengan menjadikan situasi dialami Mohd Helmy sebagai contoh bahawa kempen itu memberi kesan kepada orang Islam.

Mohd Asri juga meluahkan rasa hairan kerana ada dalam kalangan umat Islam sendiri cuba memperlekeh usaha membantu meningkatkan ekonomi umat Islam sendiri.