PKNP FC tiada pilihan kecuali menang

Abu Bakar yakin PKNP masih berpeluang mara lebih jauh saingan Piala Malaysia kali.
A
A

TAK ada pilihan lain. Kita perlu menang untuk teruskan cabaran pada saingan Piala Malaysia kali ini.”

Itu reaksi Ketua Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim bagi mengulas aksi berdepan UiTM FC dalam saingan Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), malam ini.

Abu Bakar berkata, skuad kendaliannya itu masih berpeluang untuk mara lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia kali ini biarpun ketinggalan agak jauh berbanding dua pasukan teratas Kumpulan B JDT dan PJ City FC.

Menurutnya, berdasarkan perkiraan matematik skuad The Juggernauts itu dilihat masih memiliki ruang untuk sekurang-kurangnya memberikan tekanan kepada kedua-dua pasukan berkenaan.

“PKNP FC masih ada peluang dengan syarat semua pemain faham tanggungjawab mereka dengan memperbaiki semula kesilapan yang dilakukan sebelum ini.

“Selain itu, menjadi tanggungjawab pemain juga untuk berikan persembahan terbaik di hadapan penyokong sendiri dan seterusnya merealisasikan misi tiga mata yang dicari-cari,” katanya kepada Sukan Sinar.

Abu Bakar yakin PKNP masih berpeluang mara lebih jauh saingan Piala Malaysia kali.
Abu Bakar yakin PKNP masih berpeluang mara lebih jauh saingan Piala Malaysia kali.

Untuk rekod, PKNP FC kini berada pada kedudukan ketiga Kumpulan B dengan empat mata hasil satu kemenangan, seri sekali dan tewas dua kali daripada empat perlawanan setakat ini.

Sementara itu, menurut Abu Bakar, pihaknya akan melakukan sedikit rombakan bagi mengimbangi kekuatan pasukan khususnya di benteng pertahanan pasukan berikutan ketiadaan pertahanan import, Amani Santos Aguinaldo yang masih belum pulang daripada tugasan bagi kelayakan Piala Dunia bersama skuad kebangsaan Filipina.

Justeru katanya, kapten bawah 18 tahun kebangsaan, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi akan diberikan peluang beraksi pada perlawanan berkenaan.

“Pemain lain saya rasa tiada masalah untuk diturunkan, namun akan ada sedikit rombakan yang akan kita buat bagi mengimbangi kekuatan pasukan dan seterusnya mencatatkan kejayaan yang diingini,” katanya.