Video Anwar, Adrielle: Itu propaganda media sosial

Azan (tengah) ketika sidang media di sini, hari ini. Gambar kecil, antara gambar yang didakwa tular dan mendapat perkongsian di media sosial.
Azan (tengah) ketika sidang media di sini, hari ini. Gambar kecil, antara gambar yang didakwa tular dan mendapat perkongsian di media sosial.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Video tular yang kononnya mengaitkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan seorang ahli perniagaan kosmetik hanyalah propaganda dimainkan di media sosial.

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata, perkara itu sudah jelas dinafikan sebelum ini malah ia bukan tohmahan pertama mengaitkan bakal perdana menteri itu.

"Perkara ini telah dinafikan secara keras, setelah insiden pertama, mungkin ini termasuk dalam propaganda kedua, ketiga dibawa oleh media sosial.

"Tuduhan begini telah berulang kali dimainkan malah ia telah datangkan perasaan jijik dan muak dalam kalangan rakyat," katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media di sini, hari ini.

Azan berkata, imej Anwar sama sekali tidak terjejas, malah tuduhan itu tidak sedikitpun mencalarkan reputasi pemimpin berkenaan.

“Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) sendiri memberi pengiktirafan kepada Anwar dan ini membuktikan beliau adalah pemimpin berkaliber dan bersih.

“Orang yang digosipkan itu menafikan tuduhan mengaitkan dirinya dan Anwar," katanya.

Katanya, apa yang disebarkan itu adalah cabaran biasa dan usaha untuk calarkan imej begini tidak mendatangkan kesan kepada Anwar.

Artikel Berkaitan:

“Beliau sebelum ini berdepan dengan pelbagai cabaran yang jauh lebih besar, keluar masuk penjara dan sebagainya. Namun, tak mematahkan semangat juang beliau," katanya.

Terdahulu, kisah ahli perniagaan kosmetik yang dikenali sebagai Adrielle Iman tular dikatakan mempunyai hubungan dengan Anwar.

Beberapa gambar menunjukkan dia hadir dalam beberapa program yang melibatkan Anwar, antaranya ketika PRK Port Dickson.

Terkini, sebuah klip video didakwa tular di media sosial mengenai Adrielle Iman.

Bagaimanapun, ahli perniagaan itu menafikan sekeras-kerasnya, malah akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan gambar, video serta mengaitkan kononnya dia dan Anwar mempunyai hubungan mesra.