Liga M 2019: Perak pantau prestasi import

Pemain import Perak, Wander Luiz mengawal bola dalam satu aksi Liga Super musim 2018, lalu.
Pemain import Perak, Wander Luiz mengawal bola dalam satu aksi Liga Super musim 2018, lalu.
A
A
A

IPOH - Pengurusan skuad Liga Super Perak mahu memastikan agar pemain import kelima yang dibawa masuk kelak benar-benar berbaloi terutamanya dalam menjamin kejayaan pasukan.

Pengurus Perak, Datuk Adly Shah Ahmad Tah berkata, perkara berkenaan telah dibincangkan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam usaha membawa masuk pemain import yang benar-benar berkualiti.

Menurutnya, pemain import kelima berkenaan akan memenuhi kuota import Asean.

“Kita tidak mahu terburu-buru dalam perkara ini kerana kita mahukan pemain import kelima ini adalah berbaloi untuk pasukan.

“Apapun, kita akan umumkan nanti apabila segala urusan selesai dibuat,” katanya demikian ketika ditemui sempena majlis perkahwinan penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dan Farah Nadiah Mohammad Khalim di Kelab Golf Diraja Perak, (RPGC), hari ini.

Sementara itu, Adly Shah berkata, pihak pengurusan Perak yakin akan menerima maklum balas positif berhubung tawaran yang diberikan kepada kapten PKNP FC, Muhammad Shahrel Fikry Md Fauzi untuk menyertai skuad The Bos Gaurus itu.

Perkara itu bakal diketahui dalam masa terdekat berikutan tawaran diberikan kepada pemain berkenaan sejak berakhirnya saingan musim 2018 lalu.

“Kami berbesar hati menjemput beliau (Shahrel Fikri) untuk bersama kita dan rasanya kita akan dapat persetujuan dalam masa terdekat,” katanya.

Artikel Berkaitan: