'Keputusan saya muktamad, Kor Ming juga perlu letak jawatan'

Leow Thye Yih
Leow Thye Yih
A
A
A

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pokok Assam, Leow Thye Yih menegaskan keputusannya untuk meletakkan jawatan di dalam parti bersama ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng adalah muktamad.

Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah berfikir sedalam-dalamnya dan beliau tidak akan menarik balik keputusan tersebut.

Beliau berkata, tindakan itu juga sebagai langkah membuka mata semua ahli dan pemimpin DAP untuk berani menyatakan pendirian masing-masing di dalam parti.

"Semuanya sudah difikir secara mendalam dan tidak akan menarik balik keputusan ini. Keputusan ini muktamad iaitu keluar daripada jawatankuasa DAP Perak.

"Saya ingin buat penjelasan di sini bahawa keputusan yang dibuat tidak menjejaskan nama baik DAP, sebaliknya untuk menyatakan solidariti kepada Exco Perak, Paul Yong," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Thye Yih berkata, beliau kecewa dengan kepimpinan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang lari daripada prinsip demokrasi yang diamalkan sejak sekian lama di dalam DAP.

Beliau mendakwa, ramai ahli DAP Perak yang tidak berpuas hati dengan Kor Ming, tetapi mereka tidak berani bersuara kerana takut dipinggirkan atau dilucutkan jawatan.

"Oleh itu, saya bersama ADUN Malim Nawar merasakan inilah masanya untuk kami bersuara demi semangat DAP iaitu berani bersuara.

Artikel Berkaitan:

"Jika Nga (Kor Ming) seorang pemimpin bertanggungjawab, beliau perlu meletakkan jawatan sebagai Pengerusi DAP Perak dan ini merupakan pandangan peribadi saya," katanya.

Terdahulu, DAP Perak dalam satu kenyataan media mengharapkan Thye Yih dan Cheok Keng mempertimbangkan untuk menarik semula keputusan meletak jawatan dan kembali menyertai jawatankuasa parti.

ARTIKEL BERKAITAN 2 ADUN DAP Perak letak jawatan dalam parti demi Paul Yong

DAP Perak gesa dua ADUN tarik balik keputusan letak jawatan