DAP Perak gesa dua ADUN tarik balik keputusan letak jawatan

Kenyataan media dimuatkan di laman Facebook DAP Perak bagi menjawab tuduhan dan menjelaskan isu peletakan jawatan dua ADUN parti itu.
A
A

IPOH - DAP Perak menyatakan kesediaan untuk mengadakan pertemuan dengan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka yang mengumumkan peletakan jawatan di dalam parti semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, parti itu menjelaskan pertemuan dengan ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng dan ADUN Pokok Assam, Leow Thye Yih penting bagi menjernihkan keadaan.

Menurutnya, keputusan kedua-dua ADUN untuk meletakkan jawatan tidak pernah dibincangkan bersama parti dan hanya diketahui melalui media selepas sidang media dibuat semalam.

"Selepas dimaklumkan mengenai sidang media itu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming segera menghubungi dan menghantar mesej kepada kedua-dua ADUN itu untuk bertemu secepat mungkin. Bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak menjawab panggilan telefon dan tidak membalas mesej yang dihantar.

"Kami tegaskan bahawa kenyataan media ini dibuat untuk memastikan tiada maklumat tidak tepat disebarkan kepada ahli dan orang awam yang boleh menjejaskan reputasi parti," kata kenyataan yang dimuat naik di dalam Facebook DAP Perak berserta rakaman video sidang akhbar Kor Ming sebelum ini.

Menerusi kenyataan itu juga, kedua-dua wakil rakyat itu diharap mempertimbangkan untuk menarik balik keputusan meletakkan jawatan dan kembali ke dalam jawatankuasa parti.

Dalam pada itu, DAP Perak turut menafikan beberapa tuduhan dibuat Cheok Keng dan Thye Yih kerana tidak berasas.

Mengenai dakwaan Thye Yih bahawa pemilihan DAP Perak tidak sah, kenyataan itu memaklumkan, tuduhan dilemparkan itu sangat serius kerana pemilihan tersebut mematuhi perlembagaan parti malah diterima Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Semalam, Cheok Keng dan Thye Yih mengumumkan perkara tersebut kerana tidak berpuas hati dengan kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming di dalam akhbar berbahasa Cina berhubung perbincangan dalam Pakatan Harapan mengenai kedudukan Exco Kerajaan Negeri, Paul Yong yang menghadapi pertuduhan merogol pembantu rumah.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka masih kekal sebagai ahli DAP dan ADUN kawasan masing-masing.

ARTIKEL BERKAITAN: 2 ADUN DAP Perak letak jawatan dalam parti demi Paul Yong

DAP Perak selesai isu dua ADUN peringkat dalaman


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia