Dua lelaki ditahan bersama pistol tiruan, peluru

Sepucuk pistol tiruan berserta peluru yang dirampas.
Sepucuk pistol tiruan berserta peluru yang dirampas.
A
A
A

KEMAMAN - Dua lelaki ditahan bersama sepucuk pistol tiruan berserta satu kelopak peluru ketika serbuan di sebuah rumah di Kampung Bukit Mentok di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, suspek berusia lewat 20-an itu ditahan dalam serbuan pada jam 10 malam hasil maklumat awam berhubung kes pecah rumah.

Menurutnya, semasa serbuan dilakukan terdapat empat lelaki termasuk kedua-dua suspek sedang tidur sebelum dikejutkan untuk pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan menemui sepucuk pistol tiruan berserta satu kelopak peluru bertulis Glock 18 c Austria 9x9 nombor siri bse023 di dalam beg yang disembunyikan di bawah tilam.

"Turut ditemui sebuah televisyen bersaiz 32 inci yang disyaki harta curi sebelum kesemuanya dirampas untuk siasatan selanjutnya," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Hanyan berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berkenaan bergerak aktif dalam jenayah pecah rumah dan curi motosikal di sekitar kawasan Chukai di sini sejak tiga bulan lalu.

"Kedua-dua suspek direman sehingga 15 September ini untuk siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan: