6 termasuk pegawai JPN Pulau Pinang didakwa jual MyKad

A
A

1- 6 termasuk pegawai JPN Pulau Pinang didakwa jual MyKad

Enam lelaki termasuk seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang dihadapkan ke mahkamah dengan 32 pertuduhan melibatkan sindiket penjualan dokumen pengenalan diri dan sijil kelahiran kepada warga asing.

Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang, Mohd Faizul Arifin, 34 menghadapi 11 pertuduhan iaitu dua pertuduhan mengikut Seksyen 26 E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670), empat pertuduhan mengikut Seksyen 466 Kanun Keseksaan dan lima pertuduhan mengikut Peraturan 25(1)(i) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Sebelum ini media melaporkan, tertuduh yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) itu akan dihadapkan di mahkamah atas beberapa pertuduhan bersama beberapa individu lain susulan pembongkaran aktiviti penjualan MyKad kepada warga China di Pulau Pinang, baru-baru ini.

2- Utamakan kempen beli barangan buatan Malaysia

Rakyat Malaysia digesa mengutamakan kempen membeli barangan buatan Malaysia daripada memboikot barangan keluaran pengusaha bukan Islam di negara ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun berkata, menyokong produk buatan Malaysia akan lebih meningkatkan ekonomi negara.

Katanya ketika diminta mengulas pertanyaan sama ada kempen boikot itu akan menjejaskan pengusaha produk bukan Muslim negara.

Justeru katanya, kempen sepatutnya adalah kempen beli barangan buatan Malaysia.

3-Tiga sekolah di Johan Setia ditutup hari ini

Tiga sekolah di Daerah Klang diarah tutup bermula hari ini susulan jerebu melanda kawasan Johan Setia yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Muhamad Radzi Abdullah berkata, tiga sekolah tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia dan SK Jalan Kebun serta Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor memutuskan penutupan tiga sekolah itu dalam mesyuarat semalam sebelum pamakluman dipanjangkan kepada pihak sekolah.

Jelasnya, arahan berkenaan selari dengan Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bilangan 1/2019 mengarahkan sekolah ditutup sekiranya IPU sesuatu kawasan itu melebihi angka 200.

4-Wan Azizah hadiri upacara pengebumian BJ Habibie

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mengetuai delegasi Malaysia ke Jakarta, Indonesia bagi menghadiri upacara pengebumian bekas Presiden Indonesia ketiga, Bacharuddin Jusuf Habibie atau lebih dikenali sebagai BJ Habibie, demikian menurut Wisma Putra.

Dr Wan Azizah dalam lawatan khas itu hari ini akan diiringi Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin serta pegawai pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Kementerian Luar.

Menurut kenyataan Wisma Putra hari ini, Dr Wan Azizah akan menziarahi keluarga dan memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham BJ Habibie di Kuningan Timur.

5-Isteri kelar, tikam kemaluan suami angkara cemburu

Angkara cemburu, seorang wanita bertindak mengelar dan menikam kemaluan suaminya menggunakan pisau dalam satu kejadian di sebuah rumah kedai di Jalan Bestari Meru, Jelapang malam tadi.

Kejadian sekitar jam 12.30 malam itu menyebabkan mangsa yang juga warga Sri Lanka berusia 40 tahun mengalami cedera parah di bahagian kemaluan dan leher.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, kejadian disedari orang ramai selepas mangsa keluar dari kediaman itu bagi mendapatkan bantuan.

Beliau berkata, pasangan itu masuk ke negara ini secara sah menggunakan pas pelancong dan menyewa di rumah kedai berkenaan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia