PSM bantah cadangan mansuh skim pencen

Jeyakumar (duduk, dua kanan) bersama ahli PSM yang hadir pada sidang akhbar di Pejabat PSM Cawangan Buntong di sini hari ini.
Jeyakumar (duduk, dua kanan) bersama ahli PSM yang hadir pada sidang akhbar di Pejabat PSM Cawangan Buntong di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Parti Sosialis Rakyat (PSM) membantah cadangan kerajaan untuk memansuhkan skim pencen kakitangan awam.

Pengerusinya, Dr D Jeyakumar berkata, pelaksanaan cadangan itu akan menyebabkan golongan pesara menderita kerana mereka tiada lagi sumber pendapatan lain.

Menurutnya, golongan pesara tidak seharusnya dilihat sebagai beban kepada kerajaan kerana mereka berkhidmat melaksanakan polisi kerajaan.

"Kita amat tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan memansuhkan skim pencen ini. Tindakan ini akan menyebabkan pesara rasa tidak selamat.

"Mungkin sekarang ini mereka bekerja dan ada gaji yang baik, tetapi apabila bersara mereka akan sengsara. Ini idea yang tidak bijak sebenarnya," katanya kepada pemberita di Pejabat PSM Cawangan Buntong di sini hari ini.

Jeyakumar berkata, skim pencen sebenarnya perlu diperluaskan kepada semua rakyat yang bekerja dan bukan hanya penjawat awam.

Menurutnya, PSM pernah mencadangkan skim pencen warga emas sejak tiga tahun lalu kepada kerajaan bagi membantu meringankan beban mereka yang tidak lagi mampu bekerja.

Beliau berkata, pencen berkenaan diberikan kepada mereka yang tidak mendapat manfaat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Yang tak terima pencen kerajaan, tiada caruman Perkeso dan KWSP seperti petani perlu juga diberikan pencen dengan permulaan RM300 setiap bulan.

"Jumlah itu bukanlah untuk yang tinggal berseorangan, tetapi jika mereka tinggal dengan anak, sekurang-kurangnya tidak membebankan ahli keluarganya," katanya.

Jeyakumar
Jeyakumar

Dalam pada itu, Jeyakumar berkata, berdasarkan perkiraan yang dibuat, untuk melaksanakan pemberian pencen itu kerajaan memerlukan hanya perlu mengeluarkan perbelanjaan RM2.8 bilion setahun.

Katanya, kerajaan mungkin boleh mengurangkan peruntukan bagi pembangunan untuk membolehkan ia dilaksanakan.

Selain itu, Jeyakumar turut mencadangkan supaya kerajaan melihat kembali cukai korporat sebagai hasil yang boleh membantu menambah pendapatan negara.

Pada 4 September lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah mengumumkan mulai 2020, lantikan baharu dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat di bawah skim tetap dan berpencen sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambah baik.

Beliau berkata, langkah itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa khas pembaharuan perkhidmatan awam pada Oktober 2018 yang mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfasa dan berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyifatkan skim pencen yang dilaksanakan merupakan satu bebanan besar kepada negara.

Katanya, kerajaan sedang mencari jalan terbaik berhubung cadangan tiada lagi lantikan baharu dalam perkhidmatan awam di bawah skim tetap dan berpencen bagi memastikan ia tidak merugikan penjawat awam.

ARTIKEL BERKAITAN Skim pencen bebanan besar negara: Dr Mahathir