Ambil tindakan tegas kepada golongan 'kurang ajar': Musa

Musa Hassan
Musa Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan segelintir netizen memperlekeh keputusan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mungkin menyahaktif laman sosial Twitternya pagi tadi disifatkan sebagai sikap kurang ajar dan tidak menghormati institusi diraja.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, tindakan tegas perlu diambil polis termasuk menahan individu terbabit di bawah Akta Hasutan bagi mengelakkan golongan 'kurang ajar' ini terus 'naik lemak' dengan bersikap sering dimuakan.

Menurutnya, golongan tidak menghormati institusi diraja ini sebenarnya sudah dicuci otak oleh pihak tertentu untuk membenci institusi diraja sekaligus tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

"Kalau kita lihat, semakin golongan muda terpengaruhi dengan sentimen kebencian terhadap institusi diraja disebabkan mereka sudah kena 'brainwash' dengan pihak tertentu.

"Polis kena ambil tindakan tegas terhadap golongan ini kerana perbuatan itu merupakan satu jenayah dan jika dibiarkan akan menunjukkan seolah-olah badan penguatkuasa undang-undang itu lemah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Musa berkata, pihaknya turut menggesa usaha memupuk perasaan cintakan negara dan semangat Rukun Negara dalam kalangan golongan muda perlu dipertingkatkan lagi agar mereka mempunyai jati diri dan sentiasa menghormati undang-undang.

Semakan di media sosial hari ini mendapati akaun Twitter rasmi milik Tuanku Permaisuri Agong tidak ditemui dan kelihatan seperti dinyahaktif.

Ketiadaan akaun media sosial Tuanku itu menjadi bahan bualan ramai warganet yang turut menyatakan rasa sedih mereka.

Artikel Berkaitan:

Di sebalik rasa sedih rakyat, masih ada segelintir pihak yang mengeluarkan kenyataan dan komen memperlekehkan keadaan itu kononnya sebagai suatu gimik.