Jual MyKad: Pemuda UMNO desak RCI ditubuhkan

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan segera bagi menyiasat pemberian kewarganegaraan melalui kad pengenalan atau Mykad yang diragui kaedahnya.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Pemuda UMNO memandang serius isu-isu berkaitan pemberian kewarganegaraan terutama apabila timbul dakwaan bahawa prosesnya terlalu mudah serta mengikut saluran belakang tetapi dengan pantas dinafikan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Bagaimanapun, katanya, kebimbangan rakyat mula terjawab apabila jelas penjualan Mykad kepada warga China di negara ini ternyata berlaku selepas pendedahan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang.

"Penahanan itu membuktikan apa yang dinafikan KDN dan JPN boleh disanggah dan integriti mereka kini dipersoalkan.

"Justeru, kami mendesak sebuah RCI ditubuhkan bersandarkan beberapa asas dan tujuan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, dengan kedudukan tinggi pegawai berkenaan yang ditahan, tidak mustahil sindiket berkenaan sudah bergiat lama dan lebih banyak MyKad diragui dikeluarkan berbanding jumlah yang dituduh dalam mahkamah.

Sehubungan itu, katanya, adalah penting kes berkenaan disiasat oleh sebuah badan bebas seperti RCI dengan lebih mendalam susulan, apatah lagi sudah kedengaran lama bahawa kerajaan DAP Pulau Pinang berusaha menambah pengundi Cina bagi mengukuh kedudukan mereka di negeri tersebut.

"Skop tugas RCI ini juga antara lain perlu mengenal pasti dalang-dalang sebenar di sebalik pemberian atau penjualan MyKad kepada warga China, mengenal pasti bilangan sebenar mereka yang menerima kewarganegaraan secara sewenang-wenangnya dan mengenal pasti impak kepada demografi penduduk dan pengundi di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Ingin ditegaskan, keperluan menubuhkan RCI bagi menjernihkan segala polemik menular dalam masyarakat berkenaan dengan pemberian kewarganegaraan melalui kaedah meragukan," katanya.

Asyraf Wajdi berkata, kerajaan perlu ingat bahawa kewarganegaraan Malaysia merupakan anugerah tertinggi negara dan tidak wajar diberikan secara sewenang-wenangnya.

ARTIKEL BERKAITAN: