X

Kindly register in order to view this article
!

Curi motosikal: Geng Midi tumpas

Osman Mamat menunjukkan antara motosikal dan kompenan yang dirampas dalam operasi selama lima hari berakhir semalam.
A
A

TAIPING - Polis berjaya melumpuhkan kegiatan sebuah kumpulan curi motosikal selepas menahan 12 ahli sindiket itu termasuk ketuanya.

Kesemua mereka ditahan dalam satu operasi khas selama lima hari yang berakhir semalam.

Kumpulan dikenali Geng Midi itu dikesan aktif membabitkan 18 kecurian motosikal di Taiping, Kerian dan Kuala Kangsar.

Mereka menyasarkan motosikal yang ditinggalkan di kawasan surau, rumah tidak berkunci pagar dan di kawasan sunyi.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, komponen motosikal akan dileraikan dan dijual pada harga serendah RM400 hingga RM500.

Menurutnya, melalui operasi itu polis menemui lima motosikal pelbagai jenis dan jenama yang dilaporkan hilang.

"Turut dirampas ialah komponen motosikal termasuk tiga rangka motosikal, dua cover set, satu set sport rim serta beberapa peralatan yang digunakan dalam kegiatan itu. Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM30,000," katanya pada sidang media hari ini.

Antara motosikal dan kompenan yang dirampas dalam operasi selama lima hari berakhir semalam.
Antara motosikal dan kompenan yang dirampas dalam operasi selama lima hari berakhir semalam.

Beliau berkata, ketua geng berkenaan dikenali sebagai Midi bersama 11 ahli lain berusia antara 21 hingga 47 tahun diberkas di sekitar daerah ini bermula 7 September lalu.

Menurutnya, semakan awal mendapati majoriti suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah.

"Kita yakin kesan daripada kegiatan penagihan ini mendorong kesemua suspek terlibat dalam kes kecurian motosikal. Mereka yang ditahan kini direman sehingga 14 September ini.

"Polis kini dalam usaha memburu beberapa lagi ahli kumpulan terbabit dan yakin banyak lagi kes kecurian motosikal dapat diselesaikan," katanya.

Selain itu, Osman memberitahu, polis memberkas tiga ahli Geng Krishnamoorty berusia lingkungan 29 hingga 35 tahun yang terlibat dalam 10 kes pecah rumah inap desa dan rumah tidak berpenghuni di kawasan Taiping, bulan lalu.

"Kita turut merampas pelbagai barangan yang dilaporkan hilang bernilai RM30,000," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!