Sultan Ismail Petra gering, namun stabil: Tengku Muhammad Rizam

Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra
Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra
A
A
A

KOTA BHARU - Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz mengesahkan keadaan kesihatan ayahanda Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berada dalam keadaan stabil.

Kesihatan ayahanda baginda, Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra dikhabarkan merosot selepas mengalami masalah jantung dan diserang angin ahmar pada 2010.

Sinar Harian difahamkan baginda turut mendapatkan rawatan di beberapa hospital termasuklah di Hospital Mt Elizabeth, Singapura sebelum ini.

Justeru, Tengku Muhammad Rizam berharap rakyat jelata dapat mendoakan kesihatan ayahanda baginda kembali baik seperti biasa.

"Setakat ini baginda stabil, saya harap semua rakyat dapat mendoakan kesihatan Tuanku agar bertambah baik.

"Pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) juga telah melakukan solat hajat untuk tujuan yang sama. Insya-ALLAH kita doakan yang terbaik buat baginda," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tengku Muhammad Rizam (tiga dari kiri) semasa melancarkan buku Istana Balai Besar di sini hari ini.
Tengku Muhammad Rizam (tiga dari kiri) semasa melancarkan buku Istana Balai Besar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Pembangunan Jati Diri 'Sayangi Diri, Tanah Air dan Raja' di Dewan Utama Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai majlis tersebut, Tengku Muhammad Rizam semasa menyampaikan ucapan berkata, jati diri merupakan elemen yang sangat penting dalam diri manusia terutama di peringkat remaja atau belia.

"Jati diri akan menghasilkan keperibadian yang tinggi dalam diri seseorang individu. Ia juga akan mengukuhkan kesatuan sesebuah masyarakat dan kesinambungan sesebuah bangsa dengan generasi akan datang.

"Oleh itu jati diri perlu disemai agar dapat membuahkan hasil yang sebaik-baiknya apabila tiba masa nanti iaitu masyarakat yang menyayangi diri, tanah air dan raja sebagai payung perpaduan serta keharmonian negara," katanya.