SPRM bakal siasat aktiviti jual MyKad

A
A

1-SPRM bakal siasat aktiviti jual MyKad

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan kes pembongkaran aktiviti penjualan MyKad kepada warga China di Pulau Pinang baru-baru ini sekiranya mendapat maklumat yang jelas mengenai kes berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Beebi Koya berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan atau laporan rasmi berhubung perkara itu.

Bagaimanapun beliau memaklumkan SPRM tidak semestinya bergerak hanya atas maklumat rasmi.

Dalam operasi khas minggu lalu itu, beberapa kakitangan dan pegawai sebuah jabatan kerajaan di Pulau Pinang termasuk di Putrajaya ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana dipercayai terlibat dengan kes berkenaan.

Di Pulau Pinang, Bernama melaporkan seorang penolong pengarah di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang akan didakwa di Mahkamah Sesyen berhubung dakwaan terbabit dalam sindiket menjual MyKad kepada warga asing di negeri itu. #

2-Hentikan momokan Melayu tidak pandai

Momokan bahawa Melayu adalah kaum yang tidak pandai perlu dihentikan segera kerana kata-kata itu sengaja direka bagi melemahkan orang Melayu sejak sebelum Malaysia merdeka.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Datuk Syed Azizan Syed Mohamed Al Idrus berkata, hari ini pelbagai bukti tentang kehebatan kaum Melayu telah dijumpai secara langsung dan tidak langsung menerusi kajian yang dilakukan oleh sarjana-sarjana tempatan.

Menurutnya, data-data arkeologi yang diperoleh dari Sungai Batu di Merbok menunjukkan bahawa Melayu Kedah telah menghasilkan besi yang bermutu tinggi dan dieksport ke seluruh dunia sejak tahun 788 sebelum Masihi.

Dalam pada itu, Syed Azizan turut menegaskan bahawa orang Melayu perlu bangkit menyuarakan hak dan perlu berani mempertahankan sebarang keistimewaan golongan itu seperti mana yang termaktub di dalam Perlembagaan. #

3- Kerjasama Pas-UMNO langkah jumud?

Kerjasama Pas dan UMNO memberikan impak baik kepada kedua-dua parti dalam usaha menarik lebih banyak undi dalam kalangan pengundi Melayu dan Islam kata Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff

Namun katanya, begitu menurut pakatan dua parti itu diperhatikan akan merenjatkan usaha perpaduan Melayu secara keseluruhannya disebabkan agenda perjuangan gabungan itu masih kabur dan kurang diyakini sebilangan pengundi Melayu lain.

Tambah beliau, keadaan itu juga dilihat akan turut meresahkan ahli kedua dua parti terutamanya pada peringkat awal gabungan pakatan dua parti terbesar Melayu Islam itu.

Katanya, bagi sesetengah pengundi Melayu dan Islam pula mereka akan berfikiran bahawa pakatan politik seumpama ini akan melambatkan proses perpaduan umat Melayu secara keseluruhannya disebabkan kerjasama itu disifatkan bersifat jumud dan berteraskan perjuangan politik Melayu dan Islam semata-mata.#

4-Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya, tidak sepatutnya menafikan hakikat bahawa jerebu yang melanda Malaysia ketika ini berpunca dari republik itu.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, yang membidas Siti Nurbaya berkata, data tompok panas dan arah angin daripada ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) berpusat di Singapura, jelas membuktikan Malaysia menjadi mangsa jerebu yang datang dari negara itu.

Menerusi satu hantaran di Facebook rasminya, semalam. Bee Yin memuat naik beberapa gambar menunjukkan data ASMC yang menunjukkan jumlah tompok panas di Indonesia dan Malaysia, selain aliran angin di kedua-dua negara itu.

Data itu jelas menunjukkan perbezaan ketara jumlah tompok panas antara kedua-dua negara itu, apabila hampir 4,000 di Sumatera dan lebih 9,000 di Kalimantan dicatatkan pada Ogos dan September, berbanding sekitar 500 di Malaysia bagi tempoh sama.#

5. Jualan topeng muka laris

Jualan topeng muka di farmasi dan kedai serbaneka sekitar Shah Alam laris susulan keadaan jerebu yang melanda negara sejak beberapa hari lalu.

Menerusi tinjauan Sinar Harian di beberapa farmasi sekitar Seksyen 18 mendapati jualan bagi topeng muka itu mendapat sambutan menggalakkan khususnya daripada kalangan ibu bapa dan penduduk setempat.

Menurut seorang pegawai farmasi, Nursakinah Othman, kebanyakan pihak mendapatkan bekalan topeng muka berkenaan bagi memudahkan mereka melakukan aktiviti harian berikutan keadaan udara tidak begitu baik sejak kebelakangan ini. #

ReplyReply allForward


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia