Rakyat Malaysia lancar kempen #PermaisuriAgong #AmpunTuanku

Paparan Twitter Permaisuri Agong tidak aktif dan ciapan netizen meluahkan rasa hiba.
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia melancarkan kempen di Twitter buat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah untuk aktifkan semula akaun Twitter miliknya setelah diyahaktif susulan komen-komen negatif.

Semalam, akaun itu dinyahaktif sekali gus membangkitkan semangat netizen untuk membuat hashtag baru iaitu #permaisuriAgong, #AmpunTuanku sekali gus menjadi trending di Twitter supaya Tunku Azizah mengubah fikiran.

Netizen, Hazim Husaini, berkata, “Aku suka tengok Twitter sebab semuanya aku buka, mesti ada post daripada Raja Permaisuri Agong. Aku menyukai apa yang dicoretkan dan berharap Permaisuri Agong akan kembali”.

Sementara itu, Aniq Miharja turut menyifatkan, Permaisuri Agong memiliki sifat keibuan seperti ibu lain yang sangat baik dan penyayang.

Baginda yang terkenal dengan sifatnya yang ramah dan berjiwa rakyat, menggunakan akaun media sosialnya itu untuk berinteraksi dengan rakyat agar hubungan raja dan rakyat lebih dekat.

Malah baginda sering berkongsi momen-momen indah dari sudut pandang sebagai Permaisuri Agong.

Sememangnya netizen menyukai pendekatan yang dilakukan Permaisuri Agong malah menggemari telatah baginda berdua terutama di majlis keramaian.

Insiden Twitter Permaisuri Agong dinyahaktif susulan dipercayai diserang dengan komen negatif dari netizen.

Bukan itu sahaja, semasa perarakan Hari Merdeka, Permaisuri Agong dikritik di Twitter kerana mengambil gambar acara itu yang kemudiannya dijelaskan itu adalah arahan suaminya Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hari ini, semakan di media sosial mendapati, akaun Twitter rasmi milik Tuanku Permaisuri Agong tidak ditemui dan kelihatan seperti telah dinyahaktif.

ARTIKEL BERKAITAN: Tunku Azizah tutup Twitter, netizen rayu aktif semula