Pemuda UMNO bantah UniSZA, UMT bergabung

MUHAMMAD HANAFI
MUHAMMAD HANAFI
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemuda UMNO Terengganu menentang keras usaha menggabungkan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Penolong setiausahanya, Muhammad Hanafi Hassan berkata, langkah kerajaan itu dikhuatiri akan merencatkan proses perkembangan kedua-dua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu.

"Dalam mana-mana proses penggabungan, kesan negatif paling ketara adalah pengurangan tenaga kerja kerana melibatkan pemberhentian atau penamatan kontrak kakitangan.

"Ia akan berlaku berikutan pengecilan operasi dan jumlah pengambilan pelajar setahun," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Muhammad Hanafi berkata, negara juga akan kekurangan tenaga pakar dalam bidang kritikal seterusnya akan membantutkan perkembangan dalam bidang-bidang tersebut.

"UniSZA dan UMT adalah dua IPTA sedang membangun pesat dan menjadi teras pendidikan tinggi Terengganu.

"Penubuhan Fakulti Perubatan dan pembinaan Hospital Pengajar UniSZA yang telah mencapai kemajuan 75 peratus perlu dilihat sebagai penanda aras terhadap perkembangan UniSZA itu sendiri.

"Manakala UMT pula sebuah IPTA yang merupakan pelopor dalam Sains Samudera (kini dikenali dengan Teknologi Kejuruteraan Kelautan) yang turut melalui proses perkembangan yang besar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut mempertikaikan cadangan penggabungan itu kerana ketika pentadbiran kerajaan kerajaan Barisan Nasional (BN), UMT dan UniSZA diberi ruang luas untuk berkembang.

"Kerajaan sebelum ini menyokong usaha pengembangan kampus universiti di Besut (UniSZA) dan Marang (UMT) selain terus mengekalkan kampus asal," katanya.

Sehubungan itu katanya, pihaknya menuntut jawapan jelas daripada kerajaan berhubung cadangan penggabungan dua universiti berkenaan.

"Kita mahu penjelasan kerajaan apa manfaat daripada penggabungan dua universiti ini kepada rakyat?

"Institusi pendidikan dan rakyat tidak seharusnya dijadikan mangsa atas sebab ketidakupayaan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menguruskan negara ini atas alasan penjimatan," katanya.