Henti aktiviti luar sekolah, pakai penutup hidung

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Semua sekolah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam menangani masalah jerebu yang turut melanda negeri ini khususnya di daerah Rompin.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kesemua sekolah di negeri ini telah pun dimaklumkan tentang SOP terlibat termasuk larangan mengadakan aktiviti luar di padang atau kawasan terbuka kepada semua pelajar dan guru serta mengutamakan penggunaan penutup hidung yang turut dibekalkan kepada pihak terlibat.

Menurutnya, pihak sekolah juga perlu sentiasa berhubung dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung perkembangan terkini dan memaklumkan segera kepada pejabat pendidikan daerah (PPD).

"Jika keadaan bertambah buruk, penutupan sekolah perlu dilakukan bagi mengelak gangguan kesihatan serius ke atas pelajar," katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, pihaknya menerima laporan menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Rompin menurun daripada 232 awal pagi semalam kepada 227 pada jam 10 pagi hari sama.

"Kerajaan negeri memandang serius masalah jerebu yang turut melanda negeri ini khususnya daerah Rompin yang mencatat bacaan IPU melepasi tahap 200 semalam," katanya.

Beliau berkata, pelajar perlu akur arahan pihak sekolah yang dikeluarkan dari semasa ke semasa bagi mengelak sebarang masalah yang boleh memberi kesan terhadap jerebu yang melanda.

Melalui kenyataan JAS Pahang semalam, Rompin mencatat bacaan IPU mencecah 226 pada tahap sangat tidak sihat.

Artikel Berkaitan:

Pengarahnya, Mohd Sani Mat Daud berkata, bacaan IPU di Rompin agak membimbangkan, namun bacaan itu menunjukkan sedikit penurunan sehingga jam 12 tengah hari.

Katanya, masalah jerebu melanda Daerah Rompin berpunca daripada kebakaran belukar tanah gambut melibatkan kawasan seluas dua hektar di Sembayan, Rompin dan diburukkan lagi ekoran kebakaran kecil secara terbuka.