Tiga rumah separa kekal hangus

Keadaan rumah yang terlibat dalam kebakaran tersebut malam tadi.
A
A

RAUB - Sebanyak tiga buah rumah separa kekal musnah dalam kebakaran yang berlaku di Taman Mewah, dekat Sungai Ruan di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, sebuah kenderaan jenis Nissan Cefiro milik mangsa terlibat turut musnah.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub termasuk ketua balainya, Penolong Kanan Penguasa Bomba Khairul Anuar Yaacob bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan EMRS bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 8.41 malam.

"Anggota memulakan operasi dengan menggunakan dua saliran salur bantu mula diikuti dengan empat aliran hos sepanjang kira-kira 30 meter, empat pancutan dan ditambah dengan satu aliran hos 61 meter dan satu pancutan dari sumber air pili bomba.

"Kemusnahan tiga buah rumah dianggarkan kira-kira 90 peratus, manakala kereta terbabit 100 peratus terbakar. Operasi melibatkan jentera FRT dan bantuan enam anggota dari BBP Bentong," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tindakan pantas bomba berjaya mengelak api terus merebak ke rumah berhampiran lain di kawasan berkenaan dan kebakaran dikawal sepenuhnya pada jam 9.28 malam.

"Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Klau dan PBS Kuala Gali turut hadir membantu operasi pemadaman kebakaran rumah-rumah terlibat. Punca kebakaran dan jumlah kerugian keseluruhan masih dalam siasatan

"Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian membabitkan tujuh penghuni itu," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat turut hadir ke lokasi kebakaran untuk memberi bantuan awal kepada mangsa-mangsa terlibat.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia