Pantau pengedar, penjual aksesori Ysuku tidak ikut spesifikasi

A
A
A

IPOH - Ketegasan polis dalam isu pengubahsuaian motosikal jenis Yamaha 15ZR atau 'Ysuku' tanpa kebenaran tidak sewajarnya hanya tertakluk kepada pemilik dan penunggang kenderaan itu sahaja, sebaliknya harus meliputi pengedar dan penjual barangan aksesori dan komponen tidak ikut spesifikasi.

Wakil Kelab Ipoh Bikers, Azli Ahmad Tajuddin, 48, berkata, polis digesa memantau tindakan pengusaha bengkel dan kedai motosikal yang menjual barangan aksesori, alat ganti dan komponen dalaman motosikal Ysuku yang tidak mengikut spesifikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) secara berleluasa di negara ini.

Menurutnya, apabila berlaku penawaran barangan terbabit secara terbuka, pemilik motosikal Ysuku pastinya tertarik untuk mengubah suai kenderaan mengikut kehendak mereka.

"Sepatutnya polis dan JPJ perlu menyasarkan kepada pengedar dan penjual barangan motosikal Ysuku tidak ikut spesifikasi kerana dari situ punca golongan pemilik Ysuku berminat laksana modifikasi.

"Sebagai seorang pemilik motosikal Ysuku, saya merasakan tidak adil hanya kami disasarkan pihak berkuasa, sedangkan sekiranya tiada penawaran dibuat pastinya kami tidak akan melakukan pengubahsuaian yang menyalahi peraturan ditetapkan," katanya kepada Sinar Harian.

Azli Ahmad berkata, pihaknya turut menggesa kerajaan mengkaji semula perlaksanaan peraturan membabitkan motosikal Ysuku kerana terdapat beberapa perkara seperti pemasangan 'coverset' asal dan saiz tayar yang dirasakan tidak munasabah.

Menurutnya, pemasangan 'coverset' bukan asal sebenarnya tidak menjejaskan atau menambah kelajuan motosikal berkenaan, apatah lagi membawa risiko kemalangan jalan raya kepada pengguna.

ARTIKEL BERKAITAN: Individu ubah suai motosikal tanpa kebenaran berdepan tindakan sita

Artikel Berkaitan:

"Kebanyakan ubah suai dilakukan pemilik motosikal Ysuku bertujuan melaram dan mencantikkan kenderaan mereka sahaja, bukan bertujuan untuk berlumba.

"Perlu diingati trend pemilikan dan modifikasi penampilan motosikal Ysuku bukan sahaja berleluasa dalam kalangan golongan belia, malah turut diikuti golongan veteran dan berusia," katanya.

Azli Ahmad berkata, susulan arahan pemantauan terhadap Ysuku, ramai pemilik dan penunggang motosikal itu kini fobia untuk menunggangnya di jalan raya kerana bimbang menjadi sasaran polis dan JPJ.

Menurutnya, kerajaan harus menyedari golongan veteran dan warga emas juga turut berminat dalam inisiatif mengubah suai motosikal Ysuku dari aspek penampilan semata-mata.

"Kebiasaannya pemilik Ysuku sanggup menghabiskan sekitar RM300 hingga RM30,000 untuk mengubah suai penampilan luaran motosikal masing-masing dengan saya sendiri berbelanja lebih RM3,000 untuk mencantikkan motosikal.

"Inisiatif itu saya fikir tidak meningkatkan kelajuan motosikal dan mengundang ancaman kepada pengguna jalan raya lain dan saya minta kerajaan kaji semula peraturan diimplementasikan agar lebih relevan," katanya.