Seni batik ibarat mutiara berharga

Tunku Azizah berkenan menyaksikan pameran batik ketika majlis Piala Seri Endon 2019 diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Budi Penyayang, Datuk Leela Mohd Ali.
Tunku Azizah berkenan menyaksikan pameran batik ketika majlis Piala Seri Endon 2019 diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Budi Penyayang, Datuk Leela Mohd Ali.
A
A
A

KIRA-KIRA 50 peratus atau 15.1 juta penduduk di negara ini didapati tidak pernah mempunyai atau memakai baju batik. Perkembangan tersebut cukup untuk menggambarkan bahawa industri batik semakin suram dan akan terus merudum sekiranya tiada inisiatif mengembalikan kegemilangannya.

Keadaan itu, jika dibiarkan berterusan dikhuatiri warisan yang menjadi identiti masyarakat di negara ini bakal pupus ditelan masa.

Justeru, bermula minggu lepas, Kumpulan Media Karangkraf melaksanakan kempen 'Jom Pakai Batik' pada setiap hari Khamis, seperti yang diamalkan oleh kakitangan kerajaan.

Langkah kecil pemakaian baju batik itu diharap dapat diikuti oleh sektor swasta yang lain, sekaligus merancakkan kembali industri batik negara.

Pada masa yang sama, ia mampu memartabatkan budaya tradisional supaya tidak lapuk dek zaman.

Batik adalah satu kraf tangan yang unggul di Malaysia. Rakyat perlu dipupuk bangga memakai batik.

Sejarah mengatakan sejak abad ke-15 Masihi lagi manusia menemui kaedah pembuatan batik secara tradisional.

Pada masa dahulu, masyarakat Melayu menggunakan ubi kentang sebagai alat pengecap tetapi kini kain batik telah diusahakan dengan menggunakan alat-alat moden.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha Persatuan Pengusaha Batik Negeri Terengganu, Abu Bakar Abdullah dilaporkan berkata, selain dapat mengekalkan warisan, budaya dan khazanah negara, kempen tersebut juga dilihat mampu melonjakkan industri pembuatan batik asli Malaysia khususnya di Terengganu.

Selain mengangkat tradisi dan budaya, kempen pemakaian batik juga dapat memajukan seni dan industri batik tempatan yang kini dimodenkan dengan motif kontemporari mengikut peredaran zaman.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar pernah berkongsi pandangannya terhadap batik Malaysia sebagai khazanah negara dan berharap agar batik Malaysia diperkuat dan diperhebat lagi dalam usaha untuk mengangkat batik Malaysia di persada dunia.’

Malah beliau turut pernah mencadangkan agar kod pemakaian batik dalam kalangan Ahli Parlimen lelaki semasa menghadiri sidang di Dewan Rakyat dapat direalisasikan.

Semoga ‘mutiara berharga’ seperti seni batik yang menjadi identiti bangsa dan warisan tradisi terus terpelihara tidak dilupakan oleh generasi akan datang dan dihormati di peringkat antarabangsa.