Terengganu perkenal hotel patuh syariah

Dr Ahmad Samsuri (dua, kanan) meninjau kemudahan kolam renang yang berada di tingkat 11 Paya Bunga Hotel.
Dr Ahmad Samsuri (dua, kanan) meninjau kemudahan kolam renang yang berada di tingkat 11 Paya Bunga Hotel.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Terengganu memperkenalkan hotel pertama berkonsepkan patuh syariah melalui pembukaan Hotel Paya Bunga yang memulakan operasi rasminya awal bulan ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, seiring dengan hasrat itu segala urusan operasi hotel akan selari dengan keperluan syariah sama ada pemakaian kakitangan, pergaulan, penyediaan makan minum mahupun perkhidmatan kepada tetamu.

Menurutnya, hotel milik kerajaan negeri menelan kos sebanyak RM90 juta itu juga mempunyai keistimewaan laungan azan setiap waktu solat dan kuliah di surau.

“Patuh syariah ini bukan mengenai makanan halal semata-mata tapi konsepnya lebih besar.. bagaimana kita menyediakan suasana keislaman dan kita akan tingkatkan dari masa ke semasa bagi kemudahan pelanggan yang menginap.

“Bagi setengah orang, ada yang anggap patuh syariah itu satu konotasi negatif dan kita sebagai kerajaan ada tanggungjawab memperbetulkan salah faham itu,” katanya pada Majlis Pembukaan Paya Bunga Hotel, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah Paya Bunga Hotel, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya.

Hotel Paya Bunga mempunyai keunikan tersendiri dengan kolam renang di tingkat 11 merupakan kolam renang aras tinggi pertama di Kuala Terengganu yang menawarkan pemandangan 360 darjah bandaraya Kuala Terengganu.

Bertaraf tiga bintang, Paya Bunga Hotel menawarkan layanan kelas empat bintang dengan harga bilik serendah RM2++ hingga RM2,000 satu malam.

Artikel Berkaitan:

Dr Ahmad Samsuri berkata, Hotel Paya Bunga menyediakan 208 bilik dengan tujuh kategori namun setakat ini hanya 90 bilik dibuka kepada pelanggan manakala selebihnya masih di peringkat ubah suai.

Menurutnya, walaupun 90 bilik dibuka namun semua fasiliti seperti kolam renang, dewan utama, café dapat digunakan oleh pelanggan dan keseluruhan bilik hotel dijangka dapat beroperasi selewat-lewatnya akhir Mac depan.

“Paya Bunga Hotel ini merupakan antara projek bermasalah yang diwariskan kepada kerajaan baharu. Pembukaan asal hotel ini sepatutnya pada September atau November 2017 lagi namun dianjakkan kepada bulan Mac 2018.

“Pengambilan sesi pertama kakitangan seramai 40 orang dibuat pada Februari 2018 dengan kontrak selama 6 bulan, bagaimanapun sehingga kontrak berakhir pada Ogos 2018 pembukaan hotel masih tidak dapat dilaksanakan.

“Tahniah kepada lembaga pengarah, pengurusan dan kakitangan Paya Bunga Hotel yang berjaya anjurkan pembukaan hotel ini sekaligus menamatkan penantian lebih setahun dari tarikh asal pembukannya,” katanya.