Jualan topeng muka laris

Nursakinah Othman, Zulkifli Ramesh Abdullah
Nursakinah Othman, Zulkifli Ramesh Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM - Jualan topeng muka di farmasi dan kedai serbaneka sekitar Shah Alam laris susulan keadaan jerebu yang melanda negara sejak beberapa hari lalu.

Menerusi tinjauan Sinar Harian di beberapa farmasi sekitar Seksyen 18 mendapati jualan bagi topeng muka itu mendapat sambutan menggalakkan khususnya daripada kalangan ibu bapa dan penduduk setempat di sini.

Menurut seorang pegawai farmasi, Nursakinah Othman, 29, kebanyakan pihak mendapatkan bekalan topeng muka berkenaan bagi memudahkan mereka melakukan aktiviti harian berikutan keadaan udara tidak begitu baik sejak kebelakangan ini.

"Topeng muka satu lapis (sangkut telinga) paling mendapat sambutan sejak beberapa hari lalu. Namun begitu bekalan bagi topeng muka ini masih mencukupi buat masa ini," katanya.

Selain itu seorang pekerja kedai serbaneka, M Rema, 37, memaklumkan jualan topeng muka dilihat meningkat apabila keadaan jerebu di sekitar Shah Alam mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tidak sihat.

Katanya, sejak beberapa hari lalu, bekalan topeng muka di kedainya begitu laris malah boleh mencecah sehingga 100 keping sehari.

"Walaupun bekalan semakin berkurangan, namun pihak kami telah berhubung dengan pembekal bagi membolehkan stok topeng muka ini dapat dihantar pada minggu ini juga," katanya.

Sementara itu, pemandu teksi, Zulkifli Ramesh Abdullah, 46, berkata, keadaan jerebu telah menjejaskan aktiviti hariannya memandangkan dia turut mempunyai penyakit asma sejak lima tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu, dia terpaksa menunggu di dalam teksi bagi mendapatkan penumpang berikutan keadaan cuaca di luar tidak begitu sihat.

"Jika saya keluar pun, saya kena pakai topeng muka kerana keadaan kesihatan saya tidak begitu baik. Beberapa hari ini saya hanya tunggu penumpang di dalam teksi sahaja," katanya.

Tambahnya, kerajaan seharusnya mengambil tindakan tegas kepada pihak yang bertanggungjawab menyebabkan keadaan jerebu semakin teruk di beberapa kawasan sekitar ibu kota.

"Jerebu yang berlaku ini seolah-olah seperti peristiwa tahunan dan kerajaan perlu bertegas kerana ia melibatkan isu kesihatan rakyat di negara ini," katanya.

Penghantar makanan, Muhammad Nor Hazim Ahmad Fauzi, 25, pula memaklumkan dia sememangnya menyediakan topeng muka memandangkan perlu bekerja di luar pada setiap hari.

"Saya memang sediakan topeng muka pada setiap hari. Cuma sejak jerebu ini, keadaan menjadi semakin panas dan pernafasan juga sedikit terganggu disebabkan bau kurang menyenangkan," katanya.