Projek 24 misi raih emas Sukan Olimpik, Piala Thomas

Kenny ketika sidang media di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, di sini hari ini. - Foto Facebook BAM
Kenny ketika sidang media di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, di sini hari ini. - Foto Facebook BAM
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) akan memperkenalkan Projek 24 dengan misi meraih pingat emas di Sukan Olimpik 2024 di Paris serta menjadi finalis Piala Thomas 2024.

Pengenalan struktur kejurulatihan yang baharu ini bagaimanapun tidak akan mengabaikan perancangan yang sedang dilaksanakan untuk menghadapi temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Projek 24 itu juga akan menyaksikan Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choon Hann mempunyai tanggungjawab lebih besar sebagai pemantau bersama Majlis Sukan Negara (MSN).

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM Datuk Kenny Goh berkata, menerusi Projek 24, BAM akan mempunyai pelan yang lebih strategik dan efisien dalam usaha mencapai sasaran yang ditetapkan.

Selain itu, beliau berkata, perubahan struktur juga akan membabitkan penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) yang lebih kompetitif ke arah budaya kerja yang lebih cemerlang.

Kenny berkata, menerusi program baharu ini, perancangan khusus akan dirangka untuk setiap pemain merangkumi kejohanan, tahap kecergasan, kekuatan mental dan penyediaan fail individu untuk penilaian setiap empat bulan.

"Barisan kejurulatihan juga akan menjalani proses penilaian yang sama seperti pemain bagi memastikan Projek 24 bergerak selari dengan perancangan.

"Kita tidak mengabaikan perancangan yang sedang dilaksanakan bagi Tokyo 2020 malah pencapaian di Sukan Olimpik Tokyo nanti adalah peristiwa penting kepada kita untuk Projek 24," katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pelaksanaan Projek 24 itu akan dibentangkan kepada Mesyuarat Ahli Majlis BAM bagi mendapatkan kelulusan sebelum dilaksanakan sepenuhnya secepat mungkin.

Dalam pada itu, Kenny berkata, penstrukturan baharu juga terarah kepada penerapan semangat berpasukan dan tiada lagi perbezaan antara perseorangan dan beregu kerana mereka digabungkan di bawah satu bahagian.

Berdasarkan Projek 24, berlaku perubahan pada struktur kejurulatihan yang menyaksikan Datuk Misbun Sidek mengepalai skuad lelaki terdiri daripada pemain perseorangan dan beregu lelaki.

Diikuti Datuk Tey Seu Bock mengendali skuad wanita (perseorangan dan beregu wanita) manakala Chin Ee Hui bertanggungjawab terhadap bahagian beregu campuran.

Struktur Gerak kerja Projek 24 menyaksikan setiap jurulatih akan memberi laporan terus kepada ketua bahagian masing-masing dan Choong Hann bertanggungjawab menyelia projek berkenaan.

Menurut Kenny, BAM juga bersedia melepaskan mana-mana pemain termasuk pemain senior sekiranya mereka gagal melepasi penilaian berkala yang ditetapkan.

"Penilaian terhadap pemain akan diadakan pada 31 Disember. Mereka yang tidak menepati sasaran, kami akan melepaskan mereka. Ia mungkin termasuk pemain senior dan mereka yang dikekalkan, kami akan menilai semula dan menjadikan KPI mereka lebih kompetitif sebelum penilaian semula pada 30 April, 2020.

"Jika diluluskan oleh ahli Majlis, ini adalah hala tuju yang akan diambil yang secara analoginya seperti sebuah keretapi dan jika ada yang tidak boleh mengikutinya, maka mereka kena turun daripada keretapi ini," katanya.