Jadikan kekalahan tipis kepada UAE pembakar semangat

Hamidin memberikan kata-kata semangat kepada pemain Harimau Malaya, selepas perlawanan malam tadi. - Foto: FB Football Association of Malaysia
Hamidin memberikan kata-kata semangat kepada pemain Harimau Malaya, selepas perlawanan malam tadi. - Foto: FB Football Association of Malaysia
A
A
A

HARIMAU Malaya digesa melupakan kekalahan 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebaliknya bangkit lebih bersedia berdepan Vietnam di Hanoi 10 Oktober depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, kekalahan tipis kepada skuad kendalian Bert van Marwijk itu wajar dijadikan pembakar semangat mengharungi baki kempen saingan peringkat kumpulan.

“Kita hampir melakar kejutan sebentar tadi (malam semalam), diharap skuad Harimau Malaya menjadikan kekalahan dengan UAE 2-1 ini sebagai pembakar semangat untuk bangkit semula.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, kita memulakan kempen langkah kanan apabila menewaskan Indonesia 3-2 di gelanggang lawan pada 5 September lalu maka tidak mustahil untuk kita bangkit semula menentang Vietnam,” katanya dalam kenyataan dimuat naik di laman Facebook FAM.

Pada aksi Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam semalam skuad negara kendalian Tan Cheng Hoe tewas tipis 1-2 kepada UAE.

Pada masa sama Hamidin mengingatkan pemain Harimau Malaya supaya memberi sepenuh tumpuan kepada perlawanan.

“Pemain kena ingat bukan mudah mengekalkan momentum kemenangan konsisten, jadi pemain perlu sentiasa mengikut taktikal permainan jurulatih.

“Apapun kombinasi serta persefahaman yang baik telah dipamerkan pemain dan diharap pemain terus bermain dengan semangat juang yang tinggi, demi lencana di dada. Diharap penyokong terus memberi sokongan padu kepada pemain negara,” katanya.

Artikel Berkaitan: