Wan Azizah zahir ucapan takziah atas pemergian BJ Habibie

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan ucapan takziah atas pemergian bekas Presiden Indonesia, Bacharuddin Jusuf Habibie atau lebih dikenali sebagai BJ Habibie hari ini.

Wan Azizah menerusi Twitternya berkongsi mengenai berita kesedihan itu.

"Belasungkawa atas pemergian Bapak Bcharuddin Jusuf Habibie (B.J. Habibie) mantan Presiden Republik Indonesia yang telah kembali mengadap khalikNYA sebentar tadi," tulisnya.

Perkhabaran duka itu turut dikongsi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

"Terima mesej ini dari sahabat di Jakarta beberapa minit tadi. "Salam Dato, Innalilillahi wainna ilaihi roji'un...telah kembali ke Rahmatullah Bapak BJ Habibie jam 18.05 sebentar tadi di Rumah Sakit RSPAD Jakarta..semoga husnul khotimah".

"Moga ALLAH mencucuri rahmat," tulisnya di Twitter sebentar tadi.

BJ Habibie dilaporkan meninggal dunia pada usia 83 tahun di Jakarta pada pukul 6.05 petang tadi (waktu tempatan).

ARTIKEL BERKAITAN: Presiden Indonesia ketiga BJ Habibie meninggal dunia

Artikel Berkaitan:

Habibie menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarganya di Hospital Pusat Angkatan Darat Gatot Soebroto.

Berita duka pemergian Presiden ketiga negara itu disahkan anak lelakinya, Thareq Kemal.

Allahyarham Habibie mula menjalani rawatan secara intensif di hospital tersebut sejak 1 September lalu berikutan pelbagai masalah kesihatan yang dialaminya.

Allahyarham menjawat jawatan sebagai Presiden Indonesia bermula 21 Mei 1998 hingga 20 Oktober 1999 menggantikan Suharto.

Sementara itu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemergian BJ Habibie hari ini memberi kesan yang mendalam kepada beliau kerana menganggapnya sebagai rakan karib.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau juga telah menganggap Allahyarham sebagai ahli keluarganya kerana bekas Presiden Indonesia banyak membantu dirinya ketika berada dalam kesusahan sebelum ini.

"Menerima perkhabaran duka dari Indonesia, sahabat karib saya yang juga mantan Presiden Indonesia ke-3 Bacharuddin Jusuf Habibie meninggal dunia hari ini. BJ Habibie seorang individu yang saya anggap sebagai keluarga dan sangat prihatin tentang derita yang saya lalui semasa saya selesai operasi, bebas dari penjara di mana Allahyarham dan Allahyarhamah Ibu Ainon yang menjaga saya.

"Saya kesan sosoknya sederhana, bicaranya pintar dan panjang namun tidak sebagai seorang politisi biasa. BJ Habibie ini bicara dari keyakinan serta dari hati nurani. Perkara ini saya lihat sebagai sesuatu yang unik dari seorang tokoh dan pemimpin besar yang pastinya akan dirindui serta dikenang semua pihak," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook sebentar tadi.

Katanya, mewakili seluruh ahli PKR, beliau turut mengutuskan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham.

"Semoga rohnya ditempatkan bersama dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh," katanya.

anwar
anwar